Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,746

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lebih 300,000 Rakyat Malaysia Jadi Pengikrar Derma Organ Sejak 1997

3:33pm 15/10/2016 Pak Roshan 19 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

organ_transplant_000018130774

KOTA KINABALU : Seramai 362,667 rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ sejak 1997 hingga Oktober tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Pendermaan Organ Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 13,448 penduduk Sabah berikrar sebagai penderma organ bagi tempoh sama dan menjadikan negeri ini berada di kedudukan kelapan dalam statistik pengikrar di seluruh negara.

Bagaimanapun, Lee berkata, jumlah itu tidak termasuk pengikrar baharu yang berdaftar semasa Kempen Jalanan sempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) 2016 yang berlangsung secara serentak di seluruh negara pada 8 Okt lepas.

“Kempen tersebut berjaya mendaftarkan pengikrar baharu seramai 7,511 orang dalam masa sehari, sementara Sabah yang menjalankan kempen itu di 16 daerah mencatat seramai 992 pengikrar baharu,” katanya di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta Fun Walk for Organ 2016 sempena MKPO anjuran Tissue and Organ Procurement Team, Hospital Queen Elizabeth 2 dengan kerjasama Persatuan Koordinator Transplan Sabah.

Seramai 1,083 peserta menyertai acara itu yang bertujuan mempromosi amalan hidup sihat selain meningkatkan kesedaran pentingnya pendermaan organ.

Walaupun statistik pengikrar derma organ menunjukkan peningkatan, namun Lee berkata, masih banyak perlu dibuat bagi terus meningkatkan kesedaran dan menarik lebih ramai orang awam menjadi pengikrar.

Ini berikutan terdapat 20,774 pesakit masih dalam senarai menunggu organ kebangsaan yang direkodkan hingga Ogos tahun ini, katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata tahap kesedaran penduduk di Sabah terhadap pendermaan organ semakin meningkat dan ini dapat dibuktikan menerusi pertambahan jumlah pengikrar penderma organ.

Setakat Oktober tahun ini, Dr Christina berkata seramai 5,056 orang berdaftar sebagai pengikrar derma organ berbanding jumlah keseluruhan 3,190 orang pada tahun lepas.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan