Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lebih 300,000 belia dapat manfaat program latihan GiatMara

Joujan Sambakong (lima dari kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan GiatMara Sabah daripada Saflee (lima dari kanan) kepada Mohd. Rosdi. - foto Monica Gidong
Joujan Sambakong (lima dari kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan GiatMara Sabah daripada Saflee (lima dari kanan) kepada Mohd. Rosdi. – foto Monica Gidong

KOTA KINABALU – Penubuhan GiatMara Malaysia (GiatMara) sejak 29 tahun lalu berjaya melatih lebih 300,000 belia akar umbi dengan pelbagai kemahiran teknikal dan vokasional sehingga 85 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan termasuk menjadi usahawan berjaya.

Pengerusinya, Datuk Joujan Sambakong berkata, GiatMara menyediakan pelbagai latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada golongan belia Bumiputera di bandar dan luar bandar secara percuma sejak ia diwujudkan.

“Kita melatih mereka daripada kosong sehingga berjaya memperolehi pelbagai kemahiran, kemudiannya memperolehi pekerjaan atau menjadi usahawan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada perjumpaannya bersama GiatMara Sabah sempena Tahun Baharu 2015 dan Ulang Tahun GiatMara ke-29 di Kasih Sayang Health Resort, Menggatal, dekat sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Datuk Mohd. Rosdi Ismail dan Pengarah GiatMara Negeri Sabah, Saflee Awang Damit. Dalam majlis itu juga, Joujan turut menyaksikan penyerahan sumbangan kutipan daripada GiatMara Sabah sebanyak RM1692.62 untuk membantu mangsa banjir.

Joujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan berkata, latihan yang diberikan oleh GiatMara membolehkan para belia mendapat kemahiran seperti yang diperlukan oleh industri.

“Sambutan dan permintaan tinggi terhadap program GiatMara menyebabkannya berkembang pesat dari segi bilangan dan program yang ditawarkan. Pada masa ini, GiatMara menawarkan 39 jenis kursus di bawah 12 jenis kluster iaitu Mekanikal, Seni Bina, Pengangkutan, Pembuatan, Percetakan, Elektrikal, Komputer & IT, Fabrik, Elektronik/Mekatronik, Kulinari, Hairdressing & Cosmetology dan Hospitaliti.

“Pada akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), GiatMara dijangka akan bertambah menjadi 231 buah di seluruh negara. Pertambahan itu penting kerana negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran bagi mencapai negara maju menjelang 2020.

“Justeru, visi GiatMara ialah menyediakan latihan teknikal dan vokasional berkualiti dan memenuhi kehendak negara bagi mewujudkan tenaga kerja mahir dan bakal usahawan bumiputera yang berdaya saing. Kita mahu melahirkan generasi belia yang berkemahiran tinggi dan keboleh pasaran serta tidak bergantung dengan bantuan dan subsidi daripada kerajaan secara berterusan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Rosdi berkata, sebuah lagi Pusat GiatMara Peringkat Parlimen akan diwujudkan di Kalabakan pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan pusat itu di Sabah sebanyak 28 buah dan apabila beroperasi kelak, pusat itu dijangka dapat melatih kira-kira 120 pelatih dalam tiga bidang kursus.

Selain itu katanya, GiatMara juga menubuhkan Skuad GiatMara Peduli yang dianggotai 450 pelatih dari sembilan buah negeri bagi membantu mangsa-magsa banjir di beberapa buah negeri yang teruk dilanda bencana alam itu. – Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan