Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lebih 3,000 pelajar luar bandar dibantu FELCRA

PENGERUSI FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin bergambar beramai bersama murid selepas Majlis Penutup Seminar Kecemerlangan Peperiksaan Peringkat Kinabatangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam 2, di Kinabatangan. Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (kanan). – Foto Poliana Ronnie Sidom

 

KINABATANGAN: Kerjasama FELCRA Berhad dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) menerusi akhbar BH mengadakan seminar kecemerlangan peperiksaan memberi impak besar dalam keputusan peperiksaan pelajar luar bandar.

Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ini terbukti menerusi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar luar bandar yang bertambaj baik sejak program itu diperkenalkan.

Beliau berkata, seramai 15,000 pelajar di seluruh negara menerima manfaat hasil kerjasama Yayasan FELCRA dan NSTP menganjurkan seminar kecemerlangan sejak tahun 2014.

Pada tahun ini, katanya, seramai 3,400 pelajar disasarkan menyertai seminar itu yang membabitkan 10 lokasi di seluruh negara dengan Kinabatangan adalah lokasi ketiga dipilih.

“Mereka yang terpilih menyertai seminar ini adalah istimewa kerana beribu yang mahu, namun cuma sedikit dipilih.

“Saya harap lebih ramai berpeluang menyertai seminar ini khususnya di luar bandar kerana ia membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar menerusi bimbingan dan penyediaan panduan atau strategi, selain menyuntik semangat pelajar supaya komited dalam pembelajaran.

“Saya yakin program ini amat bermakna kerana ia memberi inspirasi kepada pelajar luar bandar bagi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya ketika merasmikan Penutup Seminar Kecemerlangan Peperiksaan Peringkat Kinabatangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif Yayasan FELCRA, Hashimuddin Hashim; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib dan Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Sabah, Irman Abok.

Seminar dua hari itu dihadiri kira-kira 300 calon UPSR dan SPM dari beberapa sekolah sekitar daerah ini.

Pada majlis itu, Bung Moktar yang juga penyandang Ahli Parlimen Kinabatangan mengumumkan sumbangan khas RM30,000 kepada 300 murid dan pelajar yang menyertai program berkenaan untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

Bung Moktar berkata, ia selaras komitmen Yayasan FELCRA dan FELCRA Berhad dalam menjalankan obligasi sosial terutama kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang boleh membantu mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan Yayasan FELCRA komited membantu membangunkan rakyat khususnya di luar bandar bukan saja menerusi inisiatif pendidikan, malah kebajikan sosial,” katanya. – BH ONLINE

PENGERUSI FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada pelajar pada Majlis Penutup Seminar Kecemerlangan Peperiksaan Peringkat Kinabatangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam 2, di Kinabatangan. Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (kanan). – Foto Poliana Ronnie Sidom

Komen


Berita Berkaitan