Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,657

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lebih 16,000 Pesakit Tibi Di Sabah Sembuh Tahun Lepas

6:02pm 08/04/2016 Pak Roshan 54 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU – Sejumlah 16,493 pesakit Tibi di Sabah yang menerima rawatan mengikut jadual sembuh daripada menghidap penyakit itu pada tahun lalu, kata Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Heric Corray.

Bagaimanapun, katanya 1,256 pesakit Tibi membuat keputusan berhenti menerima rawatan lanjut dan dikhuatiri ia menjangkiti orang awam yang lain.

Tibi adalah penyakit berjangkit tertua di dunia disebabkan bakteria Mycobacterium Tuberculosis yang disebarkan melalui udara.

“Tibi adalah satu ancaman besar di negara ini dan menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus bagi tempoh empat tahun sejak 2011,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat HQE di sini hari ini.

Namun, Dr Heric berkata kes penyakit berjangkit itu di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak dua peratus pada tahun lalu kepada 24,220 kes berbanding 24,711 pada 2014.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,696 kes kematian dilaporkan tahun lalu berbanding dengan 1,603 pada tahun sebelumnya.

Dr Heric berkata Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanda-tanda awal penyakit Tibi menerusi aktiviti mengesan, merawat dan mencegah penularan penyakit itu di negara ini.

Ini termasuk membeli 20 mesin Gen eX-pert untuk beberapa hospital termasuk HQE sebagai kemudahan mengesan kes penyakit Tibi yang sukar dikesan, di samping menyediakan kemudahan x-ray bergerak juga di Sabah pada tahun lepas, katanya.

Bertemakan ‘Pengesanan dan Rawatan Awal: Bersama Membenteras Tibi’, Hari Tibi disambut bertujuan memberi kesedaran terhadap pentingnya mengesan dan memberi rawatan lebih awal bagi mencegah penyakit Tibi daripada terus merebak.

Ini adalah selaras dengan hasrat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ke arah menghentikan penyakit Tibi menjelang tahun 2035, katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan