Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lebih 10,000 Dijangka Kunjungi Festival Tahunan Krismas KK

7:09pm 03/12/2015 Pak Roshan 196 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

20131211_195040_zps033e79f5

KOTA KINABALU : Lebih 10,000 pelawat tempatan dan asing dijangka mengunjungi Festival Krismas Gaya Street ke-11 dari 15 hingga 18 Dis ini.

Festival tahunan selama empat hari bertemakan ‘Love Came Down’ itu, yang diadakan dari 6 petang hingga 10.30 malam di Lintasan Deasoka dan Gaya Street, dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Gereja Sabah (SCC).

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir berkata acara itu bertujuan mengeratkan hubungan dan memupuk persefahaman serta toleransi antara penduduk bandar raya ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Festival ini merupakan tarikan utama bagi pelancong asing dan penduduk tempatan dari daerah lain. Tahun ini lebih istimewa kerana pokok Krismas setinggi 30 kaki digunakan untuk menghiasi jalan bersempena festival itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi sokongan dan menyumbang kira-kira RM200,000 untuk menjayakan festival tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dijangka merasmikan festival itu pada 15 Dis pada majlis yang turut dihadiri beberapa orang kenamaan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Joseph Kurup dan presiden Majlis Gereja Sabah Rev Datuk Jerry Dusing.

Kira-kira 350 gerai akan dibuka bersempena festival itu untuk menjual pelbagai produk, termasuk makanan dan minuman serta barangan perhiasan sambutan Krismas, dengan acara kemuncaknya adalah pertunjukan bunga api pada hari pertama dan terakhir festival itu.

Sementara itu, Abidin mengumumkan daerah Menggatal akan mengadakan Karnival Krismas keempatnya dari esok hingga 6 Dis di sebuah dewan komuniti.

Antara acara yang dirancang adalah persembahan tarian tradisional oleh pelajar Timor-Leste yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah, drama, koir dan nyanyian oleh kumpulan daripada gereja di daerah itu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan