Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lawatan Ulama Dari Negara Jiran Bantu Semarak Syiar Islam Di Sabah

tawfiq

TAWAU – Kedatangan ulama dan ilmuwan Islam dari negara jiran termasuk Indonesia ke Sabah banyak membantu menyemarakkan syiar Islam di negeri ini, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata kedatangan mereka memberi banyak kesan positif sehingga tertubuhnya institusi pendidikan agama yang akhirnya melahirkan anak muda yang lengkap dengan ilmu agama.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan ulama-ulama dan ilmuwan kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi mengingat kembali perjuangan menyebarkan Islam yang telah dilakukan pada masa dahulu,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam muhibbah bersempena lawatan Anggota Jawatankuasa Yayasan Pondok Pesantren Buya Hamka Maninjau Sumatra ke daerah ini malam tadi.

Tawfiq juga berharap hubungan silaturahim yang terjalin dapat terus dieratkan dan dipertahankan agar Islam terus dapat dikembangkan dengan lebih meluas.

Sementara itu, Ketua Umum Yayasan Pondok Pesantren Buya Hamka Maninjau Sumatra, Bachtiar Bakar dalam ucapan balasnya berkata kedatangan mereka adalah untuk menyemarak serta mengutuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin.

“Ukhwah yang terjalin perlu dikukuhkan agar Islam terus berkembang seiring dengan peredaran zaman dan perjuangan ulama terdahulu yang gigih merantau tidak terhenti setakat itu,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat, dan Anggota Dewan Undangan Negeri Balung Datuk Syed Abas Syed Ali. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan