Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,675

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Laungan ‘Usir Islam’ Di Perancis Dendam Paris Diserang

6:58pm 17/11/2015 Pak Roshan 1473 views Global

islam

PARIS – Ribuan penunjuk perasaan anti-Islam membawa sepanduk tertera ayat ‘Usir Islam’ semasa mengganggu perhimpunan aman bagi memperingati mangsa serangan pengganas Paris dalam satu kejadian di utara Perancis.

Tindakan kumpulan berhaluan kanan Perancis di bandar Lille itu dipercayai didorong oleh kenyataan oleh seorang pemimpin Parti Barisan Kebangsaan, Marine Le Pen yang mendakwa Pe­rancis kini sebagai ‘tidak lagi selamat’.

Akhbar tempatan melaporkan, beliau mahu pihak pemerintah segera mengambil semula kawalan sempadannya selepas serangan lewat Jumaat minggu lalu yang mengorbankan lebih 150 orang dan mencederakan ratusan lain.

Bagaimanapun, gangguan kumpulan itu yang melaung-laungkan slogan ‘Keluar Islam’ berjaya dihentikan selepas mereka dikejar kumpulan Liga Hak Asasi Manusia (HRL) yang membe­ritahu mereka, ‘Berambus Fasis’.

Perhimpunan bermula pukul 3 petang waktu tempatan sebelum penunjuk perasaan ‘menyerang’ dataran utama bandar itu sambil melaung-laungkan mesej anti-Islam dan membakar bunga api kira-kira 15 minit kemudian.

Kumpulan itu turut melaung-laungkan mesej anti-Islam ke arah polis Lille yang dipanggil untuk mengawal keadaan sebelum situasi tidak dapat dikawal sehingga me­rebak ke jalan raya sekali gus mengganggu aliran trafik.

Sementara itu, kerajaan Perancis bertindak membalas dendam dengan melancarkan serangan udara besar-besaran mengenai beberapa sasaran bagi membalas dendam terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) di Raqa, Syria.

Ia memusnahkan markas arahan IS, pusat rekrut, depot simpanan senjata dan kem latihan. Operasi bersama dengan Amerika Syarikat itu melibatkan 12 jet pejuang yang berlepas dari Jordan dan Emiriyah Arab Bersatu.

“Pesawat-pesawat kami berjaya menggugurkan lebih 20 buah bom demi menghancurkan kawasan sasaran,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Perancis, Mickael Soria dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Presiden Perancis, Francois Hollande mengutuk serangan ke atas Paris sebagai tindakan perang dan berikrar akan menyerang balas ke atas kumpulan pengganas IS tanpa perasaan belas kasihan lagi.

Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berpangkalan di Britain mengesahkan siri serangan udara Perancis mengenai bandar Raqa yang dianggap ibu negara kerajaan khalifah IS di Syria dan Iraq.

“Terdapat sekurang-kurang­nya 36 letupan akibat pengeboman ke atas Raqa, sebahagiannya disebabkan oleh serangan udara dan beberapa letupan senjata serta bahan letupan yang terkena serangan tersebut.

“Letupan-letupan itu menggegarkan seluruh bandar berkenaan. Terdapat serangan udara di kedua-dua bahagian utara dan selatan Raqa,” kata Pengarah SOHR, Rami Abdel Rahman. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan