Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Larian Obor KL 2017 Ruang Rakyat Terlibat Sukan SEA

SANDAKAN – Larian Obor Sukan Sea dan Para ASEAN 2017 dapat memberi ruang kepada rakyat di negara ini untuk terlibat dalam temasya sukan ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Beliau berkata ia selari dengan tema ‘Bangkit Bersama KL 2017’ yang mementingkan perpaduan dan semangat kekeluargaan rakyat serta komuniti Asia Tenggara.

Katanya, objektif larian obor ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan secara simbolik kepada para atlet yang akan bertanding dan kepada penganjuran KL 2017.

Menurutnya larian obor ini dapat mempromosi KL 2017 kepada penduduk tempatan secara terus dan menyemarakkan lagi kemeriahan sukan itu ke seluruh pelusuk negara beberapa bulan sebelum ia bermula.

“Pada masa sama, ia dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat secara lebih dekat akan obor larian yang telah direka khas untuk temasya sukan ini,” katanya pada acara simbolik meletakkan obor di obor stand di Padang Bandaran Sandakan di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk James Wong yang turut membawa obor di Bandar Sandakan hingga ke Padang Bandaran Sandakan. Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Masiung Banah yang mengiringi sepanjang larian obor KL 2017 di negeri ini.

Pada sidang media selepas acara itu, Masiung berkata Sandakan menjadi lokasi keempat disinggahi larian obor KL 2017 di negeri ini selepas bermula di Ranau, diikuti Keningau dan Tawau semalam.

Katanya lokasi seterusnya adalah Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu dan terakhir di Sipitang pada Khamis ini sebelum larian obor diteruskan di negeri jiran, Sarawak.

Menurutnya larian obor KL 2017 telah mencatat sejarah dalam penganjuran Sukan Sea apabila obor dinyalakan di puncak Gunung Kinabalu semalam oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersama 24 pendaki, semalam.

“Harapan kita ialah apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea, ia bukan saja memberi peluang menjadi juara tetapi dapat mengangkat mutu sukan negara ini untuk menjadi kuasa sukan di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Sukan Sea KL ke-29 pada 19 hingga 30 Ogos depan akan menyemarakkan lagi semangat bersukan rakyat negara ini dan sejajar usaha kerajaan menggalakkan cara hidup sihat. Edisi kesembilan Sukan Para ASEAN dijadual dari 17 hingga 23 Sept. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan