Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Larangan eksport balak, tiada pengecualian dibuat

KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tiada pengecualian dibuat kerajaan negeri berhubung larangan eksport kayu balak dan larangan itu kekal sehingga beberapa isu diselesaikan.

Mohd Shafie dalam satu kenyataan hari ini berkata, apa yang perlu dilakukan adalah perlu dilakukan dengan segera dan beliau tidak akan melayan sebarang usaha melobi daripada mana-mana pihak dan keputusan mengenakan larangan terhadap kayu balak, yang mana untuk sementara, disahkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada Isnin.

“Terdapat keputusan yang serius perlu diambil berhubung industri pembalakan di Sabah dan saya perlu melakukannya demi kepentingan rakyat. Saya sedar ia adalah keputusan yang sukar untuk dibuat tetapi ia perlu dilakukan. Hakikatnya, ia perlu dilaksanakan lama dahulu.

“Larangan itu mungkin sementara atau ia mungkin untuk jangka panjang dan perkara ini akan dikaji secara mendalam. Saya mahukan kayu balak kita diproses di dalam negara supaya kilang papan yang sah dapat beroperasi dan menyediakan kayu bergergaji dan produk tambah nilai lain, yang mana akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri berkata, Jabatan Perhutanan Sabah akan mengarahkan semua pemain industri – pemegang konsesi juga pengendali Unit Pengurusan Hutan (FMU) – terhadap keputusan kabinet dan untuk mereka mematuhinya berkuatkuasa serta merta.

Pada Isnin dalam taklimat oleh Bahagian Perhutanan Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Shafie mengarahkan operasinya dikaji secara komprehensif selepas dimaklumkan bahawa ‘operator eksklusif’ memegang monopoli dan mengambil bahagian besar keuntungan.

Mohd Shafie yang juga Pengurusi Yayasan Sabah melahirkan ketidakpercayaan dan sedih apabila diberitahu bahawa Rakyat Berjaya Sdn Bhd (RBJ), pengendali sumber balak yayasan berkenaan, mengalami kerugian untuk empat dari lima tahun sejak 2013.

‘Operator eksklusif’ adalah syarikat yang menikmati keistimewaan daripada kerajaan terdahulu dan bekas Ketua Menteri. Perjanjian mereka membabitkan mengeluarkan balak, membeli dan kemudian mendapat keistimewaan mengeksportnya pada harga terbaik sementara RBJ hanya menerima pecahan daripada keuntungan.

Operasi RBJ juga menunjukkan bahawa syarikat berkenaan boleh membuat keuntungan yang lebih baik jika balak balak diproses menjadi kayu bergergaji. RBJ mampu mendapat keuntungan lebih baik jika balak itu dijual oleh mereka sendiri.

Mohd Shafie berkata, polisi berkenaan perlu dihentikan kerana apa saja perjanjian perniagaan yang mana kerajaan atau agensinya terbabit, haruslah produktif dan memberikan faedah maksimum, bukan kepada pemimpin, tetapi kepada rakyat.

“Pada masa ini apa yang dilihat adalah seperti ‘operator eksklusif’ yang mempunyai hubungan baik mengaut keuntungan besar daripada kegiatan pembalakan manakala Yayasan Sabah dibayar harga murah dan dalam beberapa kes menanggung hutang.

“Adalah jelas bahawa hanya beberapa orang mendapat faedah daripada operasi pembalakan manakala Yayasan Sabah dipaksa untuk mengecilkannya kerana ia kekurangan wang untuk menjalankan operasinya,” kata Mohd Shafie.

Justeru kata Mohd Shafie, terdapat keperluan segera untuk meletakkan perkara ini pada tempatnya dan beliau akan membuka jalan untuk Yayasan Sabah mendapatkan kembali hari-hari kegemilangannya dan mampu membiayai kegiatan terasnya menyediakan pendidikan dan perkhidmatan perubatan percuma kepada yang memerlukan. – Bernama

Komen


Berita Berkaitan