Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

LAPAN PASAR NELAYAN LKIM DIWUJUDKAN DI SABAH

Dr Daud Yusof (tengah) semasa mengadakan lawatan ke Pasar Nelayan LKIM Kampung Sinar Baru di Kimanis. – Bernama

PAPAR, 13 Mac (Bernama) — Pembinaan lapan pasar nelayan di negeri ini oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membolehkan masyarakat nelayan terus menjual hasil tangkapan ikan tanpa penglibatan orang tengah.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan Sabah Dr Daud Yusof berkata kerajaan memperuntukkan RM1.6 juta untuk membina pasar nelayan tersebut.

Katanya kerajaan prihatin dan mengambil berat mengenai nasib dan masa depan masyarakat nelayan yang sebelum ini dimanipulasi orang tengah terhadap hasil tangkapan ikan mereka.

“Kerajaan akan terus mempertahankan komuniti nelayan dengan cara memenuhi kehendak dan keperluan untuk memperoleh pendapatan yang setanding atau sama dengan pendapatan bidang lain.

Ini sejajar dengan matlamat kerajaan negeri Sabah meningkatkan sektor perikanan untuk manfaat masyarakat nelayan,” katanya ketika merasmikan Pasar Nelayan LKIM Kampung Sinar Baru di Kimanis dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dan Pengarah LKIM Sabah Mohd Jamil Abdullah.

Daud yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bongawan berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan lagi Industri perikanan di negeri ini.

Beliau juga berkata pewujudan pasar nelayan ini menjadi salah satu inisiatif kerajaan pusat dan Sabah untuk memberi pilihan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan ikan segar dan berkualiti dengan harga berpatutan.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM menyasarkan membina 50 pasar nelayan baharu di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya pewujudan pasar nelayan ini merupakan inisiatif LKIM untuk membantu golongan nelayan keluar daripada aktiviti tradisi untuk menambah pendapatan secara hiliran termasuk meniagakan hasil tangkapan ikan secara terus.

Beliau berkata kerajaan terus memberikan perhatian kepada masyarakat nelayan termasuk meneruskan pemberian insentif antaranya elaun sara hidup dan subsidi minyak 

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan