Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lantikan 5 Pemimpin Sabah Ke Jawatan Menteri Persekutuan Dihargai

Tun Juhar Mahiruddin, kiri, bersama dengan Shafie Apdal dan isteri masing-masing masuk kedalam dewan pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan DUN Sabah.

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kepercayaan kepada tiga pemimpin dari Sabah untuk menjawat jawatan sebagai menteri penuh di peringkat kerajaan persekutuan.

Mohd Shafie berkata tiga menteri penuh dan dua timbalan menteri yang dilantik Dr Mahathir berkenaan merupakan pemimpin kanan parti Warisan yang mengetuai kerajaan baharu di Sabah.

“Kami diwakili pemimpin parti yang senior. Satu timbalan presiden parti (Warisan) dan dua lagi ahli majlis tertinggi Warisan. Ketua Wira dan Ketua Wirawati (Warisan) dilantik timbalan menteri,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan DUN Sabah Ke-15 di sini.

VK LIEW

Beliau mengulas pelantikan Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong (VK Liew) dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri) (Undang-Undang), Anggota Parlimen Penampang Ignatius Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Anggota Parlimen Silam Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Mohd Shafie berkata pelantikan berkenaan merupakan satu penghargaan kepada parti Warisan memandangkan banyak lagi parti lain di Semenanjung turut ingin dilantik ke jawatan Kabinet persekutuan namun ruang itu diberikan kepada pemimpin dari Sabah.

“Saya nasihatkan rakan-rakan saya supaya laksanakan tugas sebaik-baiknya untuk negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Christina Liew percaya anggota Parlimen dari Sabah yang dilantik itu akan menggunakan kedudukan mereka dalam Kabinet persekutuan sebaiknya dalam menyumbang kepada kemajuan Sabah.

“Mereka semua adalah Anggota Parlimen berkebolehan dan Tun Dr Mahathir sudah tentu telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap portfolio yang diberikan.

“Saya percaya, mereka akan membawa pembangunan lebih pantas kepada Sabah,” katanya.

Liew turut berterima kasih kepada Dr Mahathir atas kepercayaan Perdana Menteri melantik anggota Parlimen dari Sabah itu dan juga kepada Mohd Shafie atas cadangan nama anggota Parlimen berkenaan untuk menjadi anggota jemaah menteri persekutuan. – borneotoday.net

Komen


Berita Berkaitan