Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

LAKONAN SEMULA PERBUATAN KONSISTEN DENGAN HASIL BEDAH SIASAT KE ATAS MANGSA, MAHKAMAH DIBERITAHU

berita mahkamah

KOTA KINABALU, 5 Mac : Lakonan semula perbuatan yang mungkin membawa kepada kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah konsisten dengan hasil bedah siasat ke atas mangsa, Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan tiga anggota TLDM yang dituduh menyebabkan kematian Asrup Raizin, 27, pegawai perubatan forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr D. Ganeson berkata apabila beliau melakukan pemeriksaan pada 4 Dis 2013, beliau mendapati lebam pada leher kanan dan bahu kiri mangsa, mungkin disebabkan oleh benda tumpul.

“Apabila lakonan semula dijalankan (di tempat kejadian), saya dapat melihat orang yang melakukan lakonan semula menekan bahu “mangsa” ke dalam air  dan menyebabkan dia (mangsa) berada di bawah permukaan air.

“Mungkin perbuatan menekan bahu mangsa menyebabkan kecederaan pada leher dan bahunya (mangsa). Lebih-lebih lagi jika ada kuasa bertentangan terhadap tekanan yang diperlakukan,” katanya, sambil menambah bahawa mangsa mungkin bergelut kerana melawan untuk menghalang perbuatan itu.

Ganeson berkata pada 20 Dis 2013, beliau mengikut polis ke Stesen Uniform  TLDM di Pulau Terumbu Ubi, Labuan, tempat kejadian berlaku, atas permintaan pihak polis dan juga untuk mengetahui bagaimana mangsa mengalami kecederaan.

Pegawai perubatan itu juga memberitahu mahkamah bahawa mangsa mempunyai dua kesan luka pada dahinya akibat pukulan benda tumpul tetapi menunjukkan ciri-ciri penyembuhan.

“Apabila saya pergi ke tempat kejadian, saya diberitahu bahawa mangsa telah menghantukkan kepalanya ke kaca tingkap awal hari itu (hari kematian),” katanya.

Mengenai hasil bedah siasat yang menemui kesan luka dan lebam di sebelah atas bibir kanan mangsa, Ganeson berkata, apabila beliau pergi ke tempat kejadian, orang yang cuba memberi bantuan pernafasan kepada mangsa memberitahunya bahawa sukar untuk membuka mulut mangsa dan banyak tenaga digunakan untuk memaksa mulutnya dibuka.

“Ada kemungkinan kecederaan (pada bibir) berlaku ketika itu (tindakan secara paksa untuk membuka mulut mangsa).

“Apabila seseorang hampir mati, dia mungkin mengalami ‘rigor mortis” iaitu satu keadaan apabila otot-otot menjadi kejang,” katanya.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Jaafar Mad Ariff sama ada mangsa masih hidup ataupun telah mati apabila kesan luka dan lebam kelihatan pada bibirnya, Ganeson berkata: “Mangsa masih hidup atau semasa tempoh “perimortem” yang bermaksud dia dalam proses hendak mati.

Muhammad Zahiruddin Nordin, 26 dari Kajang, Selangor; Mohd Hood Mad Hasib, 26 dari Kulai, Johor; dan Muhammad Faidhi Zaini, 25, dari Melaka menghadapi hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan jika didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh ke atas Asrup yang berasal dari Tenom.

Ketiga-tiga tertuduh, yang diwakili peguam Ram Singh, didakwa melakukan perbuatan itu di Stesen Uniform TLDM, Pulau Terumbu Ubi di Labuan kira-kira pukul 7.36 malam pada 3 Dis, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad bersambung esok. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan