Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lahad Datu: Tertuduh Tidak Pernah Guna Dokumen Perjalanan Untuk Ke Jolo

5:35pm 06/04/2016 Pak Roshan 2029 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

bicara-tanduo-600x367

KOTA KINABALU : Seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak pernah menggunakan dokumen perjalanan apabila berkunjung ke Jolo, Filipina, sebanyak dua kali pada 2012.

Abd Hadi Mawan, 52, seorang lelaki tempatan, berkata sebelum perbicaraan kes itu bermula lebih dua tahun lepas, dia tidak pernah menyedari bahawa melakukan perjalanan ke luar negara tanpa menggunakan dokumen sah adalah salah.

Dia turut menganggapkan perkara itu berpunca daripada kebanyakan rakyat Filipina datang ke Sabah tanpa dokumen yang sah.

“Saya tidak fikir sangat (tidak menggunakan dokumen perjalanan sah) kerana beribu-ribu orang mereka (dari Filipina) datang ke Sabah (tanpa dokumen) sedangkan saya seorang sahaja (ke Filipina),” katanya dalam bahasa Bahasa Malaysia.

Abd Hadi memberi keterangan itu semasa membela diri terhadap pertuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 2013.

Kata tertuduh, dia pergi ke Jolo buat kali pertama untuk mencari rawatan bagi sakit belakang dan bengkak kaki yang dihidapinya, manakala kali kedua pula untuk menyambut Maulidur Rasul.

Katanya dia dijemput untuk ke Jolo oleh seorang rakan dikenali sebagai Abraham, yang turut membawanya ke upacara ‘pertabalan’ individu bernama Datu Muedzul Lail Tan Kiram yang didakwa sebagai Sultan Sulu, dalam kunjungan pertamanya (Abd Hadi) ke pulau di Filipina itu.

Susulan kunjungannya ke Jolo, Abd Hadi berkata dia dimaklumkan oleh Abraham bahawa Datu Muedzul Lail telahpun melantiknya sebagai ‘panglima’ Pulau Bum-Bum di Semporna.

Tertuduh memberitahu mahkamah bahawa Abraham malah menyerahkan kepadanya surat pelantikan dan dia ketawa apabila menerima surat itu.

“Saya pergi dapur rumah saya, saya hidupkan api gas dapur dan bakar surat itu.

“Siapalah saya untuk menandingi Datuk (Seri) Shafie Apdal (anggota Parlimen Semporna). Darjah 1 pun saya tidak habis belajar,” katanya.

Abd Hadi dan 13 warga Filipina membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Ada antara tertuduh yang berdepan satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh yang lain pula didakwa secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas, atau merekrut anggota, atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung pada 11 April.

— BERNAMA

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan