Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lahad Datu: Tertuduh Nafi Telefon Bimbitnya Digunakan Tertuduh Warga Filipina

4:06pm 05/04/2016 Pak Roshan 454 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo 23

KOTA KINABALU : Seorang lelaki tempatan yang merupakan tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu, menafikan bahawa seorang lagi tertuduh dalam kes itu menggunakan telefon bimbitnya untuk membuat panggilan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Abd Hadi Mawan, 52, berkata tidak mungkin seorang lagi tertuduh, warga Filipina Datu Amir Bahar Hushin Kiram, memperoleh peluang untuk menggunakan telefon bimbitnya disebabkan dia tidak pernah berjumpa Datu Amir Bahar.

“Saya telah dianiaya kerana saya tidak pernah berjumpa dengan Datu Amir Bahar. Bukan sahaja di rumah saya, di jalan pun saya tidak pernah nampak dia,” katanya ketika memberi keterangan dalam bahasa Malaysia.

Tertuduh membela diri terhadap pertuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 2013.

Abd Hadi, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-11 kes pembelaan, merujuk kepada dokumen pintasan komunikasi yang ditunjukkan kepadanya oleh peguam Abdul Gani Zelika semasa pemeriksaan utama.

Dia mengakui bahawa nombor telefon 011-25259482, yang didakwa digunakan oleh Datu Amir Bahar, adalah kepunyaannya (Abd Hadi) dan dia ada menerima atau membuat panggilan beberapa perbualan yang didakwa membabitkan Datu Amir Bahar.

Dokumen pintasan komunikasi membabitkan nombor telefon Abd Hadi mengandungi lima perbualan telefon yang dipintas polis dari 4.02 petang hingga 7.20 malam pada 4 Mac 2013.

Dia turut mengakui kepada mahkamah bahawa dia telah menghadiri majlis yang didakwa sebagai ‘pertabalan’ di Jolo, Filipina.

Katanya dia dijemput oleh seorang kenalan dikenali sebagai Abraham, yang ditemuinya di Semporna, untuk ke majlis kenduri dan kemudiannya mendapat tahu bahawa kenduri itu adalah upacara ‘pertabalan’ individu bernama Datu Muedzul Lail Tan Kiram, yang didakwa sebagai Sultan Sulu.

“Saya pergi Jolo bersama Abraham untuk berjumpa seorang imam yang boleh mengubati sakit belakang dan kaki saya yang bengkak.

“Saya ikut sahaja ke mana Abraham pergi kerana saya tiada saudara mara mahupun tempat tinggal di Jolo,” jelasnya.

Abd Hadi dan 13 warga Filipina membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Ada antara tertuduh yang berdepan satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh yang lain pula didakwa secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas, atau merekrut anggota, atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan