Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lahad Datu hingga Tawau bakal terima pelaburan RM1 bilion – Shafie

SIDANG MEDIA … Mohd Shafie (tengah) ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Semporna, kelmarin.

 

SEMPORNA, 18 Jun (Bernama) — Kerajaan Negeri Sabah akan membawa masuk pelaburan bernilai RM1 bilion untuk daerah Lahad Datu di Semporna sehingga ke Tawau, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya beliau telah bertemu dengan Kumpulan Hap Seng yang mempunyai banyak pelaburan dalam pelbagai bidang.

“Mereka telah menyatakan mahu melabur dalam sektor sedia ada termasuk kelapa sawit dan simen. Saya turut memberitahu bahawa mereka perlu ada fokus pelaburan dan kerajaan negeri sedia bagi bimbingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Bandaran Semporna di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata selain kawasan pantai timur Sabah, kerajaan negeri juga mahu pelaburan di bawa ke daerah termasuk di Sipitang serta Papar.

Dalam pada itu, satu  inisiatif akan diambil dalam tempoh terdekat berkaitan pemberian tanah kepada penduduk kampung yang memohon geran sejak lebih 50 tahun lepas.

“Saya minta, apabila diberi tanah, jangan jual tetapi bangunkan untuk anak cucu kamu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata arahan telah dikeluarkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah supaya memberi kebenaran kepada parti pembangkang yang mahu mengunakan kemudahan seperti dewan dengan syarat dikenakan bayaran sewa dewan.

“Saya sudah bagi arahan kepada (Timbalan Ketua Menteri Sabah) Datuk Jaujan Sambakong supaya membenarkan pihak pembangkang menggunakan semua dewan di negeri ini tetapi perlu membayar sewa kerana ini adalah kemudahan rakyat. Jangan susahkan rakyat, biar dahulu kita (parti Warisan) dicaci dan dilarang menggunakan dewan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa lagi langkah untuk membangunkan Sabah dan perkara itu akan diumumkan dalam sedikit masa.

Sebelum ini, antara langkah ketara dilakukan Mohd Shafie selepas menjadi Ketua Menteri Sabah adalah membuat pembaharuan kepada Yayasan Sabah serta menghentikan pembalakan.

Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Semporna itu turut dihadiri anggota kabinet negeri serta kira-kira 15,000 penduduk Semporna dan daerah sekitar.

Hadirin dijamu dengan beraneka juadah Raya termasuk sembilan ekor kambing golek serta 15,000 cucuk satay.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan