Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,803

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lahad Datu: Beg Memuatkan Barang Kes Tidak Disimpan Selepas Kandungannya Dibuang

5:40pm 27/11/2015 Pak Roshan 114 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini bahawa beg plastik mengandungi ikan goreng yang dirampas semasa ‘Ops Daulat’, satu operasi untuk mengusir kumpulan lelaki Sulu bersenjata keluar dari Lahad Datu, tidak disimpan sebagai bukti selepas kandungannya dibuang.

Penjaga stor barang kes di Ibu Pejabat Polis Lahad Datu Sjn Aiyaman Abd Mutalib berkata beliau membuang beg plastik itu bersekali dengan kandungannya disebabkan ia berbau busuk, rosak dan berulat.

Sarjan polis itu berkata demikian semasa disoal balas dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Menjawab soalan peguam Majnah Abdillah, Aiyaman berkata beliau bersetuju bahawa beliau sepatutnya menyimpan beg plastik itu selepas membuang kandungannya.

Saksi itu memberitahu mahkamah beliau membuat laporan polis selepas membuang ikan goreng itu, yang dijadikan rujukan kepada satu lagi laporan polis berhubung rampasan barang kes.

Seramai 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga pelbagai tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung pada 7 Dis.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan