Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,634

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lahad Datu: 20 Jun Tarikh Tentatif Keputusan Kes Pencerobohan

4:31pm 17/05/2016 Pak Roshan 257 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo-1-600x366

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tarikh tentatif 20 Jun ini untuk membuat keputusan berhubung nasib 19 tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu.

Hakim Stephen Chung menetapkan tarikh tentatif itu selepas pembelaan menutup kesnya hari ini, setelah memanggil 20 saksi merangkumi tempoh 24 hari sejak 25 Feb.

Beliau turut menetapkan 10 Jun ini untuk mendengar penghujahan oleh kedua-dua pihak.

Pendakwaan memulakan kesnya pada 6 Jan 2014 dengan 30 individu – 27 warga Filipina dan tiga lelaki tempatan – berdepan pelbagai pertuduhan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Februari 2013.

Pendakwaan memanggil 166 saksi sepanjang 239 hari prosiding berlangsung yang berakhir pada 5 Jan.

Pada 5 Feb, Chung memerintahkan 19 daripada 30 tertuduh untuk membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 23-24 Feb, sembilan daripada 19 tertuduh itu memilih untuk mengaku bersalah, bagaimanapun hakim menangguhkan hukuman sehingga pembelaan menutup kesnya.

Empat daripada sembilan tertuduh itu masing-masing berdepan dua pertuduhan – melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas – bagaimanapun hanya seorang yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan menganggotai kumpulan pengganas.

Sementara itu, pendakwaan dan pembelaan berhujah sama ada satu afidavit saksi pendakwaan boleh diterima sebagai bukti dalam kes pembelaan hari ini.

Penyaksi Awam Filipina dan peguam Takahiro Kenjie Cinco Aman berkata pada 3 Mei tahun ini, beliau menerima permohonan daripada seorang wanita untuk memperakukan afidavit itu di pejabatnya di Manila.

Peguam Datuk N. Sivananthan berkata menurut Seksyen 74 dan 78 Akta Keterangan 1950, afidavit yang tertera meteri notari awam boleh dikemukakan sebagai bukti.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berhujah bahawa afidavit itu tidak memenuhi Seksyen 424 (1) (d) Kanun Tatacara Jenayah oleh kerana afidavit itu bukan atas sumpah di hadapan seorang pegawai yang menjalankan fungsi konsul bagi pihak kerajaan Malaysia di Filipina.

Beliau turut menegaskan bahawa di bawah undang-undang Malaysia, afidavit adalah dokumen sulit.

Chung memutuskan bahawa afidavit saksi pendakwaan itu, yang dikenal pasti sebagai PW165, tidak boleh diterima untuk dikemukakan sebagai bukti.

Katanya, beliau tidak menyedari bahawa saksi itu, yang diberi perlindungan, telahpun dihantar balik ke Filipina.

“Afidavit ini adalah satu kejutan. Pembelaan memilih untuk tidak memanggil PW165 untuk mengesahkan afidavit ini,” katanya.

Tiga belas warga Filipina, termasuk seorang wanita, dan seorang rakyat tempatan, membela diri di Mahkamah Tinggi di sini yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, terhadap kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Sebahagian daripada tertuduh itu berdepan satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian lagi didakwa secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas, merekrut atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan