Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lagi pengusaha restoran dikesan naik harga makanan

IMG-20150408-WA0023PENAMPANG – Seorang lagi pengusaha restoran di sini diberikan Notis 21 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah pada hari ketujuh Ops Catut-GST dijalankan di sini semalam.

Sebelum ini, empat pengusaha restoran di Putatan turut diberikan notis yang sama selepas didapati menaikkan harga makanan dan minuman di restoran masing-masing tanpa alasan kukuh.

Pengarah KPDNKK Sabah, Severinus Tukah berkata, pengusaha terbabit perlu melengkap maklumat di dalam notis berkenaan berserta dokumen sokongan sebelum dikembalikan kepada pejabat KPDNKK dalam tempoh masa tiga hari bekerja dari tarikh notis tersebut.

“Peniaga individu gagal atau enggan memberikan sebarang maklumat yang dikehendaki oleh KPDNKK, boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini hari ini.

Dalam operasi semalam, sebanyak 958 premis perniagaan telah diperiksa oleh KPDNKK dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di seluruh negeri.

“Pemeriksaan dijalankan di semua peringkat perniagaan termasuk pemborong, pasaraya, kedai runcit,  restoran, pasar malam, pasar basah dan juga gerai makan,” katanya lagi.

Menurutnya, operasi tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mengesan peniaga yang masih berdegil untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Sementara itu, pemeriksaan yang dijalankan di sekitar daerah ini turut berjaya mengesan dua peniaga menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

“Peniaga terbabit dikenakan kompaun mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah dikuatkuasakan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Orang ramai terutama para pengguna yang ingin membuat aduan boleh  menghubungi talian 1-800-886-800 atau hadir di pejabat dan cawangan KPDNKK di seluruh negeri. – Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah
IMG-20150408-WA0022
OPS CATUT-GST… Pegawai Penguatkuasa KPDNKK dan Jabatan Kastam membuat pemeriksaan di salah sebuah restoran di Penampang, semalam.

Komen


Berita Berkaitan