Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Labuan Perlu Penurunan Kuasa Untuk Jadi Pusat Pentadbiran Utama Sabah Sarawak

7:09pm 10/03/2016 Pak Roshan 330 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan
Labuan Skyline

Labuan

KUALA LUMPUR : Kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan yang terletak di antara Sabah dan Sarawak, harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk dijadikan pusat pentadbiran di wilayah itu, kata Datuk Rozman Isli (BN-Labuan).

Beliau berkata Malaysia yang merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dipisahkan oleh Laut China Selatan dan kedudukan Labuan sememenangnya cukup strategik untuk menjadi pusat pentadbiran kerajaan pusat bagi dua wilayah Malaysia di Borneo.

“Labuan boleh menjadi sebagai peluasan Putrajaya dan menjadi pusat pentadbiran kerajaan pusat untuk wilayah Sabah dan Sarawak. Kalau penurunan kuasa boleh diberikan kepada Sabah dan Sarawak, kenapa Labuan tidak mendapat penurunan kuasa juga,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rozman berkata pembangunan Labuan juga tidak boleh lagi hanya bergantung kepada industri minyak dan gas, malah ia juga perlukan industri sokongan yang lebih seperti pelancongan dan perkapalan.

Menurutnya banyak lagi pembangunan seperti bidang kejuruteraan industri perkapalan serta industri sokongan lain yang boleh dimajukan di Labuan selain menjadikan Labuan pusat institusi pendidikan tinggi dengan mewujudkan lebih banyak kampus cawangan yang ketika ini tertumpu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata lebih banyak program berbentuk integrasi nasional yang melibatkan kerajaan pusat juga perlu dianjurkan di Labuan agar fungsinya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan di Malaysia Timur akan lebih menonjol.

“Labuan adalah simbol kesatuan (Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia) dan ia ibarat sebuah mutiara yang perlu digilap,” katanya.

Menyentuh pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo, Rozman berkata sebagai satu projek persekutuan, ia seharusnya turut merangkumi jalan dari Beaufort, Menumbuk dan Kuala Penyu.

Beliau berkata rangkaian jalan terbabit merupakan laluan utama untuk masuk ke Labuan yang kini hanya boleh dihubungi menggunakan perkhidmatan feri.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan