Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KWSP Suri Rumah: 2% Gaji Suami, RM50 Dana Kerajaan

PUTRAJAYA – Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dicadangkan melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata beliau akan bertemu dengan KWSP minggu depan berhubung pelan tindakan caruman KWSP suri rumah itu.

Beliau berkata antara perkara yang perlu dibincangkan dengan KWSP ialah mengenai mekanisme caruman KWSP untuk suri rumah, siapa yang layak dan kaedah pemberian.

“Kita juga kena fikir caruman untuk isteri pertama dan kedua kalau untuk orang Islam,” katanya dalam sidang media untuk memulakan tugas di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga di sini hari ini.

Dr. Wan Azizah berkata caruman KWSP untuk suri rumah itu merupakan antara keutamaan untuk dilakukannya dalam masa terdekat memandangkan ia merupakan satu daripada manifesto 100 hari Pakatan Harapan.

Dr. Wan Azizah tiba di kementerian itu pada pukul 9 pagi dengan disambut Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad dan warga kerja kementerian itu. Beliau kemudiannya mengetip kad mesin perakam waktu di lobi kementerian sebelum ke pejabat beliau di Aras 38.

Di pejabat menteri, beliau menerima nota serah tugas daripada bekas menteri, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebelum mengikuti taklimat oleh pegawai kanan kementerian.

Dalam sidang media itu, Dr. Wan Azizah berkata beliau berkeyakinan warga kerja kementerian itu akan memberikan kerjasama yang baik untuk membantunya melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Saya rasa kami akan menjadi satu pasukan yang baik,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan