
KUDAT: Kolej Vokasional (KV) Kudat muncul juara keseluruhan dalam Karnival Sukan VOKTEK kali ke-20 yang diadakan di sini.
Dalam kejohanan itu, kontinjen KV Kudat menjadi juara bagi sukan bola tampar lelaki dan perempuan, sepak takraw, sofbol dan tempat kedua bola jaring seterusnya muncul juara keseluruhan dengan memungut mata sebanyak 41 mata, diikuti kontinjen KV Keningau 25 mata manakala kontinjen KV Tawau dengan 16 mata.
Semua pasukan yang menjadi juara bagi setiap sukan akan mewakili zon Sabah dan W.P. Labuan ke Karnival Sukan VOKTEK peringkat kebangsaan di Perak pada Jun nanti.
Dalam pada itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili berkata,penganjuran kejohanan itu merupakan platform terbaik dalam melahirkan bakat-bakat baharu terutama bagi sukan seperti sofbol, bola jaring, takraw, bola tampar, bola sepak serta seni suara di negeri ini untuk bertanding di peringkat lebih tinggi.
“Melalui kejohanan sukan seperti ini, anak-anak kita dapat dididik dengan semangat kesukanan di dalam diri, disiplin, semangat juang yang tinggi dan toleransi yang penting dalam apabila mereka bekerja kelak.
”Saya juga percaya bahawa dalam mana-mana penganjuran sukan, matlamat utama adalah kemenangan.
”Namun, pada masa yang sama kita perlu belajar untuk menerima kekalahan dengan penuh kerendahan hati dan bermaruah sesuai dengan tema yang dipilih iaitu ‘Respect’.
”Maka itu, hormatilah pihak lawan dan pupuklah semangat kesukanan yang ikhlas supaya ikatan persahabatan di kalangan warga BPTV ini dapat terus disemai dan sentiasa kukuh,” katanya semasa di Majlis Perasmian Penutupan Karnival berkenaan, di sini, pada malam Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Daniel Kinsik.
Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Kudat, Christine Stanislaus Kinsik berkata, kejayaan diperolehi merupakan hasil daripada kerjasama yang erat daripada kalangan warga kolej sendiri, masyarakat serta semua kontinjen yang menyertai kejohanan tersebut.
“Sesungguhnya kejayaan ini merupakan suatu manifestasi daripada semangat setiakawan, kesatuan, hormat-menghormati di antara satu sama lain sesuai dengan tema karnival kali ini iaitu ‘Respect’.
“Jika dilihat secara umum, karnival yang diadakan secara tahunan ini merupakan landasan penting bagi para pelajar khususnya dalam meningkatkan kemahiran kendiri iaitu daripada aspek jasmani, menyemai semangat kesukanan melalui persaingan yang sihat, sikap toleransi dan persefahaman dalam diri maasing-masing.
“Sebagai wakil kepada pengelola kejohanan kali ini, saya percaya semangat kesatuan di kalangan kita dapat disimpulkan dengan kata-kata Sudawil daripada bahasa Dusun iaitu ‘Anaru watang biduang, tupusku do mokikodop, tayonku naru sodop, id tokou do songkotuang’ yang bermaksud ‘Biar panjang pokok biduang, kupetik cendawan yang tumbuh melata, kuharap panjang si waktu siang, kiranya kita sentiasa bersama’,” ujarnya.-Penerangan