Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,809

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kutipan hasil bagi tahun 2017 meningkat

4:57pm 18/11/2016 Leolerry Lajius 8 views Kota Kinabalu,Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

KOTA KINABALU: Kutipan hasil bagi tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM3,817.6 juta iaitu meningkat sebanyak 8.5 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2016 yang berjumlah RM3,520.3 juta.

Menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1,127.7 juta atau 29.5 peratus adalah Hasil Cukai, RM2,263.6 juta atau 59.3 peratus adalah Hasil Bukan Cukai, dan RM426.2 juta atau 11.2 peratus adalah Terimaan Bukan Hasil.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, royalti petroleum kekal menjadi penyumbang utama hasil negeri, akan tetapi, tempias kejatuhan harga pasaran petroleum dunia memberi impak negatif kepada hasil kerajaan daripada royalti petroleum bagi tahun 2016.

Senario ini telah menyebabkan kutipan hasil royalti menurun kepada RM787.8 juta berbanding sasaran asal sebanyak RM900 juta iaitu penurunan sebanyak RM112.2 juta atau sekitar 12.5 peratus.

“Alhamdulillah, pada tahun 2017 dijangkakan hasil royalti petroleum daripada Petronas akan meningkat sebanyak 25 peratus berbanding bayaran royalti pada tahun 2016.”

“Kutipan hasil daripada bayaran royalti petroleum bagi tahun 2017 dianggarkan sebanyak RM985 juta mengambilkira faktor harga dan pengeluaran petroleum,”katanya ketika membentangkan Bajet 2017 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Musa turut menyatakan bahawa kutipan hasil Cukai Jualan minyak kelapa sawit (CPO)  kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi hasil negeri dengan harga CPO semasa telah menunjukkan peningkatan dengan harga purata RM2,500 setiap tan metrik berbanding RM2,200 setiap tan metrik bagi tahun lepas.

“Oleh itu, bagi tahun 2017, kita menganggarkan kutipan hasil cukai jualan CPO adalah sebanyak RM936 juta atau 24.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Anggaran Hasil Negeri Sabah pada tahun 2017,”katanya.

Tambah beliau hasil bagi Cukai Jualan Negeri ke atas tiket loteri, dijangkakan kekal bagi tahun 2017 iaitu sebanyak RM70 juta manakala hasil Cukai Jualan bagi Mesin Slot  pula dijangka meningkat kepada RM12.5 juta pada tahun 2017 berbanding RM11.5 juta bagi tahun ini.

“Dalam pada itu, bagi Kategori Terimaan Bukan Hasil,  Terimaan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan  bagi tahun 2017 dijangka meningkat kepada RM426.1 juta iaitu peningkatan sebanyak RM6.1 juta berbanding dengan anggaran asal tahun ini.”

“Sementara itu, hasil daripada Faedah dan Perolehan dari Pelaburan dianggarkan berjumlah RM325.5 juta berbanding RM302.5 juta bagi anggaran asal tahun ini,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan