Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,655

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kurup: Jangan percaya kepada provokasi di laman sosial

12:56pm 20/12/2015 Elezebeth Esther Onjining 67 views Isu Semasa,Tempatan
Kurup (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian bersama Joachim (dua dari kanan)

Kurup (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian bersama Joachim (dua dari kanan)

RANAU- Rakyat​ dinasihatkan agar tidak mempercayai provokasi yang menjadi viral di laman sosial khususnya mengenai​ ​Kundasang yang didakwa mengalami kerosakan teruk dan tidak selamat untuk dikunjungi selepas kejadian gempa bumi Jun lalu.

M​e​nteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup berkata ​persepsi negatif itu sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan para peniaga dan pengusaha inap desa akibat kebimbangan masyarakat luar yang tidak berasas.

“Kita difahamkan pendapatan para peniaga serta penguasaha inap desa berkurangan sebanyak 90 peratus sejak Jun hingga Ogos lalu.”

“Ia dikatakan berpunca daripada maklumat tidak tepat yang mendakwa Kundasang serta kawasan sekitar ​mengalami kerosakan teruk, malah ada yang mengatakan ia sudah tidak selamat untuk dikunjungi.”

“Paling malang, maklumat itu menjadi viral di laman sosial sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong,” katanya.

Kesal dengan perkara tersebut, beliau menggesa masyarakat serta pengunjung Pesta Kubis 2015 menjadi saksi serta membuktikan bahawa keadaan Kundasang bukan seperti yang diperkatakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Kurup meminta masyarakat bijak menggunakan media sosial untuk sesuatu yang bermanfaat serta membantu kerajaan mempromosi destinasi serta produk pelancongan tempatan.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan acara tahunan itu di Pekan Kundasang dekat sini, tengah hari tadi.

Julung kalinya, Pesta Kubis mewujudkan beberapa anugerah bagi mengiktiraf usaha para penanam  tanaman komersil itu di samping memberi galakan kepada masyarakat untuk menceburi bidang tersebut.

Dalam majlis tersebut, Kurup menyampaikan Anugerah Peladang Jaya kepada Sindan Kindayuh, Anugerah Usahawan Muda kepada Muhiji Jalani, Ibu Peladang 2015 kepada Aminah Andalong dan Anugerah Khas Pendidikan kepada Muhammad Taqwuddin Mohd Yazid.

Disamping itu, Anugerah Kecemerlangan Pelajar turut disampaikan kepada para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM, PT3, UPSR dan peperiksaan agama .

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada empat Ikon Belia iaitu pengendali payung terjun ranking 30 terbaik dunia, Suhari Jainal; pelari terbaik Top 3 Marathon Altitut Tinggi Asia Tenggara, Safrey Sumping; Juara ‘Sabah Bird Race 2015’, Bonijatreno Jumin dan Lerry Dominic serta malim gunung yang dianugerahkan Ikon Belia Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2015, Rizuan Kauhimin.

Sempena program tersebut juga, Kurup turut melancarkan Tamu Mingguan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Kundasang yang melibatkan 16 kampung.

Selain menjual barang keperluan, produk serta makanan, tamu mingguan yang akan beroperasi setiap Sabtu itu juga bakal menjadi lokasi penggiat seni hiburan tempatan antaranya Kinabalu Merdu Sound dan Suara Buluh Perindu Kinabalu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Dr Jonhson Tee; Pegawai Daerah, Faimin Kamin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana pesta berkenaan, Wasry Tarijin.-SayangSabah

Sindan menerima penggembur tanah dan sijil yang disampaikan oleh Kurup.

Sindan menerima penggembur tanah dan sijil yang disampaikan oleh Kurup.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan