Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,660

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kurang Tumpuan Punca Malaysia Diaibkan 0-6 Oleh Palestin

11:01am 13/11/2015 Pak Roshan 164 views Mutakhir,Sukan

kim swee

KUALA LUMPUR – Kegagalan pemain skuad Harimau Malaya memberi tumpuan sepenuhnya pada penghujung babak pertama perlawanan menjadi punca Malaysia tewas 0-6 kepada Palestin pada aksi keenam kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jordan, semalam.

Ketua jurulatih sementara skuad berkenaan, Datuk Ong Kim Swee mengakui, gol ketiga yang dijaringkan pada pemain Palestin, Ahmed Abunahia pada minit ke-45 pada aksi di Stadium Antarabangsa Amman itu jelas ‘membunuh’ semangat pemain skuad kebangsaan, sekaligus meletakkan mereka dalam kedudukan sukar untuk mengurangkan defisit jaringan.

Beliau menjelaskan taktikal yang digunakan oleh jurulatih Palestin, Abdal Nasser Barakat yang menerapkan corak hantaran jauh dan tinggi, ternyata memerangkap pemain skuad kebangsaan yang gagal mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah.

“Sudah tentu saya tak menjangka yang kami akan tewas dengan jaringan besar lagi seperti apa yang berlaku sebelum ini. Ia keputusan yang teruk,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Klip audio temubual itu turut diperoleh Bernama.

Justeru, Kim Swee mahu pemain skuad Harimau Malaya melupakan kekalahan tersebut dan fokus kepada aksi seterusnya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, 17 Nov ini.

“Apa saja perubahan yang perlu dibuat, kami akan buat. Saya tahu UAE bukan lawan yang mudah tetapi pemain perlu segera bangkit daripada kekalahan ini,” tegasnya.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini pernah diaibkan dengan jaringan yang sama oleh Palestin pada aksi kedua kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 Jun lepas.

Malaysia kekal menghuni tangga keempat kumpulan A dengan kutipan empat mata menerusi satu kemenangan, satu keputusan seri dan empat kekalahan.

Selepas melayan kunjungan UAE, Malaysia bakal berkunjung ke Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan A, Mac tahun depan. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan