Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kumpulan Yayasan Sabah kekal entiti terunggul negara selama 20 tahun

 

Musa Aman (kanan) menekan butang sebagai tanda pelancaran Buku Transformasi KYS 2013-2023.
Musa Aman (kanan) menekan butang sebagai tanda pelancaran Buku Transformasi KYS 2013-2023.

KOTA KINABALU – Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) terus kukuh sebagai sebuah entiti terbesar di Malaysia yang telah mencapai banyak kejayaan dalam menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Dalam mengecap kejayaan itu, Yayasan Sabah tidak lari daripada menempuh pelbagai rintangan sepanjang 20 kewujudannya, sebelum akhirnya muncul sebagai organisasi unggul yang menjadi pemangkin kepada pembangunan di negara ini khasnya di Sabah.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mahu KYS agar terus komited terhadap tanggungjawab sosial serta memanfaatkan segala peluang ekonomi bagi memastikan peranannya lebih berkesan sebagai agensi pembangunan kerajaan.

“Tidak dinafikan bahawa banyak kejayaan dan kemajuan dicapai oleh Kumpulan Yayasan Sabah. Walau bagaimanapun, dalam kita menghadapi kepesatan pembangunan masa kini dan akan datang ia perlu terus memainkan peranan lebih berkesan dengan bertindak sebagai agensi pembangunan negeri.

“Apa yang saya maksudkan di sini ialah, Kumpulan Yayasan Sabah juga harus bersedia memikul tanggungawab sebagai sebuah organisasi terunggul yang komited terhadap tanggungjawab sosial dan memanfaatkan peluang ekonomi,” katanya ketika berucap dalam Majlis 20 Tahun Bersama Kumpulan Yayasan Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Faridah Tussin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Salleh Said; dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah serta Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad. Dalam majlis itu, KYS turut meraikan ulangtahun kelahiran Musa yang ke-64 serta pelancaran Buku Transformasi KYS 2013-2023.

Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah bersyukur kerana  sepanjang 20 tahun perkhidmatan beliau dianggap Ketua Keluarga bersama organisasi itu dan mendapat kerjasama baik dalam keluarga besar KYS.

“Tentunya dalam tempoh yang cukup panjang ini, pelbagai kenangan pahit manis telah kita tempuhi bersama. Sehubungan itu, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada saya selama ini.

“Saya sedar, tanggungjawab besar tergalas di bahu saya untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih maju, membangun dan berjaya lagi. Alhamdullillah, Sabah kini terus mengecap nikmat pembangunan dna kemajuan dalam pelbagai sektor dengan wujudnya kestabilan politik, ekonomi dan sosial,” ujarnya.

Menurutnya, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi global, pertumbuhan ekonomi Sabah terus kukuh dan mapan.

Sehubungan itu, beliau pasti KYS akan terus relevan berdasarkan mandat diberikan oleh kerajaan negeri untuk menjadi rakan strategik dan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah, sekaligus menjadi pemangkin kepada industri lain. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan