Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KUMPULAN OPERA ANTARABANGSA KOREA ADAKAN PERSEMBAHAN DI SABAH

gala

KOTA KINABALU :  Sebuah kumpulan opera Korea bertaraf dunia akan mengadakan persembahan pada Opera Gala Friendship Concert antara Malaysia dan Korea di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Pegawai Bahagian Publisiti dan Reka Bentuk, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Sara Elisya Ahmad Shah berkata konsert yang julung kali diadakan itu akan berlangsung pada 28 Mac mulai pukul 8 malam dan dijamin mampu memikat hati penonton melalui gandingan persembahan para artis handalan dari kedua-dua negara.

“Setakat hari ini, lapan pemain biola bertaraf dunia, yang diiringi para pemuzik berbakat besar Korea daripada Korea Opera Company Association mengesahkan menyertai acara itu dan mereka akan mengadakan persembahan bersama-sama Jesselton Philharmonic Orchestra dari Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata konsert itu diadakan sejajar dengan matlamat kerajaan Sabah untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Korea melalui pertukaran program kebudayaan dan seni persembahan.

“Selain itu, bengkel mengenai muzik bertali dan vokal serta kelas khas akan diadakan selama dua hari sebelum berlangsungnya konsert hebat ini, yang menyaksikan beberapa vokalis dan pemuzik berbakat besar Korea berkongsi kemahiran, pengetahuan dan kepakaran mereka dengan peserta,” katanya.

Menurut beliau, bengkel itu akan diadakan di Balai Seni Lukis Sabah dan Kian Kok Middle School Kota Kinabalu dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Sara berkata para peminat seni persembahan tempatan tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk menyaksikan acara bersejarah ini, yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah dan Balai Seni Lukis Sabah.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh dibeli di Balai Seni Lukis Sabah (088-268748/268825) dan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang (088-715464). — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan