Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kuih Lidah jana ekonomi wanita Berundong

5:51pm 15/05/2016 Elezebeth Esther Onjining 314 views Rencana,Tempatan
KPWM Kg Berundong menerima kunjungan daripada Rombongan K1M Kuala Pilah pada ahad yang lalu

KPWM Kg Berundong menerima kunjungan dari K1M Kuala Pilah, ahad lalu

TIDAK pernah terlintas dalam fikiran, menjadikan kuih tradisi,  ‘Kuih Lidah’ sebagai nadi penjana ekonomi keluarga seharian. Demi mencari sesuap nasi, inpirasi menghasilkan kuih itu yang mulanya dianggap mustahil kini telah meluas dan terbukti mampu menembusi pasaran luar negara.

Bertitik tolak daripada permintaan tinggi terhadap sumber makanan berasaskan tani, mendorong sekumpulan wanita dari Kampung Berundong, Papar bergerak seiring. Mereka mula mendukung hasrat kerajaan untuk menggalakkan pewujudan pembangunan keluarga tani dikenali Industri Asas Tani yang dikawal selia oleh Jabatan Pertanian Sabah.

Keinginan yang terhasil pastinya masih tidak menjanjikan kejayaan. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi dalam meniti laluan sukar demi sebuah kehidupan.

RM10 JADI ASAS PERTARUHAN

Rintihan hidup seharian semakin perit dirasai. Kos hidup saban hari menghimpit diri bagai hidup kais pagi makan pagi, kais petang yang hanya cukup untuk hidangan sekeluarga diwaktu malam. Namun, yakin dan percaya akan ada sinar dan cahaya selagi usaha jadi pegangan untuk berubah.

Kakitangan swasta, Rosimah Mohamed, 46,  yang bekerja di salah sebuah syarikat pemasaran di ibu negeri 10 tahun lalu, mengambil keputusan berhenti kerja kerana terpanggil untuk membantu rakan wanita, Berudong yang dihimpit   kemiskinan dan mula mengorak kaki selangkah ke depan untuk memahami kelebihan dunia pertanian.

Idea sulung lahir dari perkongsian seramai 12 ahli yang mengikuti aktiviti Gerakan Desa Wawasan (GDW) terhadap pengetahuan asas membuat kuih akhirnya sebulat suara membentuk sebuah perniagaan atas nama ‘Kumpulan Petani Wanita Maju (KPWM)’ untuk menghasilkan produk pertama ‘Kuih Lidah”.

Berbagai pandangan dan pandangan adakah kuih tradisional ini mampu mencapai impian seterusnya mengubah kehidupan 13 wanita berkenaan. Atas semangat menyahut seruan kerajaan 1 Desa 1 Industri, maka asas pengetahuan yang diperolehi, timbul keyakinan jauh bahawa rezeki yang diberikan jika dilaksanakan secara berkerjasama pasti mampu berubah hidup dan cetusan keinginan ini maka 13 surirumah nekad kumpul sejumlah RM10 seorang demi merealisasikan impian.

DIMANA ADA KEMAHUAN DISITU ADA JALAN

“Setiap langkah, kita bermula dengan apa yang kita ada sekarang, kerana kita tidak akan pernah mengecapi apa itu kejayaan sekiranya kita tidak berani menghadapi risiko dan belajar menangani cabaran”.

Ungkapan kata ini, menjadi pegangan kepada puan Rosimah Mohamed bersama rakan-rakan seperjuangan lain.

Keinginan untuk berjaya akhirnya bertemu jodoh apabila Rosimah dan rakan-rakan didedahkan kepada program pembangunan keluarga tani yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan berkaitan. Semangat semakin terdorong, jiwa semakin bergelora, fikiran hanya satu iaitu “KEJAYAAN” mula membayangi.

Tapi semua perasaan itu perlu dikawal kerana banyak lagi latihan perlu dilalui dan Jabatan Pertanian Sabah mengambil inisiatif tepat memperkenalkan Kumpulan Petani Wanita Maju (KPWM) ini di Kampung Berundong yang membolehkan Rosimah dibimbing dengan lebih fokus dan tepat terhadap cara, kaedah dan arah sebenar kejayaan hendak dituju.

Kursus demi kursus di ikuti, anjuran Jabatan Pertanian, FAMA, MARA dan Kementerian Kesihatan, ilmu terus diperolehi sama ada dari aspek ilmu mempelbagaikan pendapatan petani (2M2P), pengurusan kewangan, diognistik perniagaan, pengendalian makanan, Business Online dan banyak lagi, kata Rosimah.

BERGELAR USAHAWAN WANITA BERJAYA  

Ilmu, pengalaman dalam bidang perniagaan semakin subur pada diri Rosimah dan rakan-rakan, setiap pengalaman merupakan guru terbaik bagi diri mereka.

Katanya, mengendalikan perniagaan dalam konteks pengurusan, sumber kewangan, perlu tangani dengan betul dan disiplin.

Ditambah lagi dengan cabaran mengurus sumber manusia, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerakkan ujar Rosimah yang kini bergelar sebagai Pengurus Kilang Kuih Lidah, Kumpulan Petani Wanita Maju (KPWM) Kg Berundong Papar semasa ditemui pada ahad lepas.

Atas keyakinan tinggi beliau memulakan perniagaan dengan modal RM130.00 pada10 tahun lalu, dan kini Rosimah bersama kumpulannya merupakan antara usahawan wanita berjaya di Daerah Papar, menubuhkan perusahaan kecil sedehana (PKS) berasaskan jualan kuih tradisi di kampung tersebut.

Purata hasil jualan kasar yang diperolehi setahun adalah sebanyak RM480,000.00 dan untung bersih sekitar tiga hingga empat ribu ringgit setahun.

Hasil jualan tahun lepas, alhamdulilah jualan produk mencecah sehingga RM 889,351.55 dengan keuntungan bersih selepas ditolak daripada kos operasi, adalah sebanyak RM 3,742.21.

Dianggarkan setiap ahli menerima pendapatan kira-kira RM 3,000 hingga RM 7,500 mengikut produktiviti setiap rakan kongsi, katanya lagi.

Dibawah Skim Satu Daerah Satu Industri, KPWM dibawah seliaan agensi FAMA Sabah dan Agro MAS, telah mempelbagaikan penghasilan kuih lidah mengikut citarasa pengguna masa kini dengan menambah beberapa perisa tertentu seperti vanilla, coklat dan kacang hijau.          

Memperolehi sijil halal pada 24 September 2008 sehinggalah dalam Tempoh 5 Tahun (2010 hingga 2015), setelah mendapat bimbingan dan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, kumpulan ini telah berjaya mengeluarkan dan memasarkan sekurang-kurangnya RM30,000.00 hingga RM50,000.00 sebulan produk ‘Kuih Lidah’ dibawah jenama Mekar TANI.

Sejak 10 tahun lalu Produk ‘Kuih Lidah’ jenama Mekar TANI berjaya di komersilkan di pasaran lebih luas iaitu di peringkat rangkaian pusat membeli belah di Sabah, Sarawak serta ke Semenanjung sehinggalah ke peringkat antarabangsa.   

Kini, produk kuih lidah dibawah jenama Mekar TANI terus menerima tempahan tetap dibeberapa buah Negara seperti  Brunei Darusalam, Singapura dan Jakarta dimana pasaran tersebut berpusat di wilayah Acheh.

Malah dalam ekspo makanan tradisi, kuih lidah Papar ianya berjaya sampai ke Dubai, UAE dan Shanghai, China tambah beliau.

APABILA SUDAH MENDONGAK, JANGAN DILUPA KAKI YANG BERPIJAK

Berkat kejayaan ini, Kumpulan Petani Wanita Maju (KPWM) Kg.Berundong, Papar tidak akan lupa matlamat penubuhan.

Penat, susah, suka, duka tetap mengajar diri tidak akan lupa bahawa ramai yang mengharapkan tuah hasil kejayaan ini.

Kejayaan ini turut dikongsi bersama penduduk terutama dalam pengwujudan peluang pekerjaan kepada masyarakat kampung dan yang lebih diutamakan adalah golongan wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.

Bagi Rosimah, kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan kerja keras penduduk yang terus memberi sokongan dan percaya akan usaha yang beliau lakukan terutama jawatankuasanya yang seiring bersama demi kemajuan kampung, katanya semasa menyampaikan taklimat bagi program lawatan Komuniti 1Malaysia dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan disini ahad lepas

Ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang membantu untuk membimbing kami terutama pihak FAMA Sabah, Jabatan Pertanian Sabah, KEMAS, Pejabat Daerah Papar, Pejabat Perhubungan Parlimen P.175 Papar yang membantu projek ekonomi kami disini dan Komuniti 1Malaysia, Japen sebagai rakan pemasaran baharu kami. -SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan