Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KRT tidak aktif akan dibatalkan: Delin

INANAM: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah memberi amaran akan membatalkan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Kota Kinabalu yang didapati gagal melaksanakan sebarang program masyarakat.

“Pihak jabatan tidak teragak-agak untuk membatalkan pendaftaran Jawatankuasa KRT yang masih gagal melaksanakan program perpaduan untuk masyarakat sejak tahun lepas,” tegas Pengarahnya Delin Liet Blaun.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg Inanam Laut, di sini pada Ahad yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayib.

Katanya, pada masa ini, sebanyak 52 buah KRT telah diwujudkan di sekitar bandaraya ini.

“Kita tidak mahu menjadi sebuah negeri yang mempunyai banyak KRT yang tiada berkualiti,” katanya lagi.

Mengenai pelancaran itu, Delin berharap supaya penduduk di kampung tersebut dapat memberikan kerjasama kepada program dan aktivit yang bakal dianjurkan oleh KRT berkenaan.

“Aktiviti atau program yang mampu meningkatkan perpaduan perlu diberi sokongan daripada kalangan penduduk,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan bersedia menyalurkan geran peruntukan untuk penganjuran pelbagai program perpaduan melalui biro jawatankuasa yang terbabit.

Sementara itu, Jainab ketika bercakap pada sidang media meminta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) agar meningkatkan lagi kerjasama dengan Jawatankuasa KRT bagi mengekalkan perpaduan masyarakat di negeri ini.

Katanya, sikap ingin bersaing sesama sendiri perlu dihindari kerana boleh menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat.

“Kerjasama itu boleh direalisasikan melalui aktviti bergoyong-royong, Skim Rondaan Sukarela ataupun menganjurkan secara bersama kursus yang dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya lagi. – oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

PELANCARAN KRT... Jainab (dua dari kiri) ketika melancarkan KRT Kg Inanam Laut, sambil disaksikan oleh Delin (tiga dari kiri) dan Pengerusi KRT Mohd Zin Haji Awang. - foto SayangSabah
PELANCARAN KRT… Jainab (dua dari kiri) ketika melancarkan KRT Kg Inanam Laut, sambil disaksikan oleh Delin (tiga dari kiri) dan Pengerusi KRT Mohd Zin Haji Awang. – foto SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan