Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kronologi Kehilangan Pesawat AirAsia QZ8501

ss

KUALA LUMPUR : Berikut kronologi kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 yang dimaklumkan pada sidang akhbar di pejabat Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta hari ini sebagaimana dilaporkan portal berita Kompas.com.

Waktunya mengikut waktu Indonesia bahagian Barat (WIB) iaitu satu jam lewat dari waktu Malaysia.
    
Butiran kronologi perkembangan di Malaysia berkaitan kejadian itu pula mengikut waktu Malaysia.

– 0536 (WIB): Pesawat berlepas dari Surabaya menuju Singapura dengan
ketinggian 32,000 kaki mengikuti laluan biasa Surabaya-Singapura, M635.

– 0612 (WIB): Pesawat berhubung kali terakhir dengan menara Kawalan Trafik
Udara (ATC) Jakarta dan juruterbang memohon untuk membelok ke kiri dan
meningkatkan ketinggian kepada 38,000 kaki. Permintaan juruterbang dibenarkan
oleh pihak ATC.

– 0616 (WIB): Pesawat masih dapat dikesan di skrin radar

– 0617 (WIB): Pesawat hanya tinggal isyarat dalam radar ATC

– 0618 (WIB): Pesawat hilang dari radar namun hanya ada data jadual
penerbangan yang masih tercatat di radar.

– 0708 (WIB): Pesawat dinyatakan INCERFA, iaitu tahap awal putus hubungan.
Pihak Ketua Pengarah Perhubungan menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat
Nasional (Basarnas).

– 0728 (WIB): Pesawat dinyatakan ALERFA, iaitu tahap berikut dalam
menyatakan pesawat putus hubungan.

– 0755 (WIB): pesawat dinyatakan DETRESFA atau hilang secara rasmi.

– 1141 (waktu Malaysia): AirAsia dalam akaun twitter dan facebook rasminya
mengumumkan mengenai pesawat berkenaan yang terputus hubungan dengan ATC pada
0724 (waktu Indonesia)

– 1441 (waktu Malaysia): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada
sidang akhbar di Kuala Lipis, Pahang berkata Malaysia sedia membantu dalam
operasi mencari dan menyelamat

– 1556 (waktu Malaysia): Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai
pada sidang akhbar di Sepang berkata Malaysia telah mengerahkan tiga buah kapal
dan sebuah pesawat C130 Hercules untuk membantu dalam pasukan mencari dan
menyelamat pesawat AirAsia itu, yang diterajui pihak berkuasa Indonesia.

– 1743 (WIB): Setakat pukul 1700 pasukan pencarian SAR Indonesia belum
dapat mengesan isyarat pesawat AirAsia QZ8501.

– 1840 (Waktu Malaysia): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur meminta anggota keluarga dan waris
penumpang bersabar dan terus berdoa operasi SAR dapat diselesaikan secepat
mungkin.

– 1900 (WIB): Ketua Basarnas, Soelistyo mengumumkan operasi SAR pesawat
AirAsia QZ8501 dihentikan sementara kerana cuaca gelap dan akan disambung semula
pagi esok.

Pesawat AirAsia jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu
membawa 162 orang penumpang yang terdiri daripada 138 orang dewasa, 16
kanak-kanak dan seorang bayi, dua orang juruterbang dan empat anak kapal.

Juruterbang bertugas ialah Kapten Irianto dan pegawai penerbangan, Remi
Emmanuel Plesel.

Warganegara penumpang pesawat ialah: 155 dari Indonesia, tiga dari Korea
Selatan, temasuk seorang bayi, satu dari Malaysia, satu dari Singapura, satu
dari Perancis dan satu dari United Kingdom. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan