Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KPLB SARAN KAKITANGANNYA TERUSKAN PROGRAM BASMI KEMISKINAN RAKYAT

Ewon (dua kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada salah seorang pegawai yang akan bersara wajib. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementeruan Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyarankan kepada semua kakitangan dan agensi di bawahnya agar meneruskan program-program yang berjaya disempurnakan dan dijadikan sebagai model.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia kerana program yang diberi keutamaan oleh KPLB adalah penyediaan keperluan infrastruktur asas luar bandar dan pembasmian kemiskinan rakyat.

Manakala, tambahnya, program-program yang belum berjaya sepenuhnya perlu diberi tumpuan besar supaya ia tidak mewariskan ketidakberjayaan program tersebut kepada generasi pentadbiran yang seterusnya.

“Saya juga ingin inisiatif-inisiatif baru di kementerian ini sesuai dengan aspirasi rakyat dan peralihan dimensi serta landskap sosial hari ini.

“Saya percaya banyak inisiatif yang kita boleh perkenalkan kepada rakyat agar kita dapat mencetuskan sumber-sumber pendapatan baru sebagai sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan dan menyediakan infrastruktur asas serta ameniti sosial di luar bandar atau di pinggir bandar.

“Kita tidak boleh terus-menerus melaksanakan program sama yang telah dianjurkan 10 atau 20 tahun yang lepas sedangkan dimensi dan landskap sosial hari ini sudah jauh berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Amanat Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah di sini hari ini.

Ewon berkata, kementeriannya juga harus menyediakan laporan kadar keberjayaan kepada setiap program yang telah dilaksanakan.

“Sekiranya kadar kejayaan bagi program-program yang telah dilaksanakan tersebut berada pada peratusan yang amat rendah tetapi masih juga diteruskan setiap tahun, saya berpendapat itu merupakan satu pelaburan belanjawan dan usaha yang tidak strategik.

“Kita seharusnya merangka dan betul-betul melaksanakan program mengangkat komuniti miskin keluar daripada kepompong kemiskinan, bukan sebaliknya,” jelasnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ewon berkesempatan menyampaikan cendera kenangan Jasamu Dikenang kepada Pegawai-pegawai Daerah, Penolong-penolong Pegawai Daerah dan pegawai serta kakitangan KPLB Sabah yang bersara wajib pada tahun ini. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan