Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KPLB Sabah Cadangkan Jalan-Jalan Ke Sekolah Dinaiktaraf Di Bawah Jalan Perhubungan Desa (JPD)

Ewon bergambar bersama wakil-wakil KPLB Sabah dan KPLB Persekutuan Sabah, pada akhir lawatan kerja.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick mencadangkan agar penaiktarafan beberapa jalan menuju ke sekolah di kawasan DUN Kadamaian menggunakan peruntukan Jalan Perhubungan Desa (JPD) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.

“Walaupun jalan-jalan ini di bawah selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun saya fikir terdapat keperluan bagi membenarkan jalan ini dinaiktaraf ke jalan konkrit JPD. Saya tahu JKR mempunyai perancangan jangka panjang menaiktaraf semua jalan di bawah selenggaraan mereka, tapi untuk proses yang lebih mudah dan cepat, jalan-jalan ini boleh diletakkan sebagai JPD supaya sekurang-kurangnya dapat dinaiktaraf ke jalan konkrit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dua hari dan meninjau keadaan jalan raya di beberapa jalan menuju ke sekolah di kawasan DUN Kadamaian, di sini, pada Sabtu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, penaiktarafan jalan-jalan menuju ke sekolah merupakan keperluan kritikal yang menjadi aspirasi utama rakyat Kadamaian.

“Sebagai Kerajaan pro-rakyat, kita mesti berupaya mencari kaedah bagaimana ianya dapat diselesaikan walaupun secara berfasa. Apa yang penting mereka melihat ada pembaharuan kemudahan berbanding sebelum ini. Sebab itu meletakkan jalan ini di bawah JPD membolehkan peruntukan KPLB dapat digunakan selepas JKR memberi kebenaran,” katanya.

Menurut Ewon, beliau telah mengemukakan permohonan khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan Rina Harun, bagi menaiktaraf beberapa jalan menuju ke sekolah di kawasan DUN Kadamaian di bawah JPD.

Beliau berkata, jalan-jalan yang dikenalpasti ialah jalan menuju ke SK Gensurai, SK Podos, SK Mengkulat, SK Pinolobuh, SK Sayap, SK Lasau Podi, SK Kaung, SK Tambatuon dan SK Lasau Tintapon.

“Di bawah JPD, jalan boleh dinaiktaraf dengan kos maksimum RM500,000 dan boleh membina konkrit jalan tersebut sehingga 500 hingga 700 meter bergantung kepada lebar jalan tersebut. Proses ini lebih cepat berbanding menaiktaraf secara keseluruhan jalan-jalan JKR tersebut yang sudah tentunya memakan berjuta ringgit peruntukan dan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya.

Beliau berkata, untuk proses seterusnya, Pejabat Daerah Kota Belud akan menyediakan dokumentasi yang berkaitan, manakala KPLB Persekutuan Sabah akan menyediakan laporan berkaitan.

“Saya akan menyusuli lanjut kesemua proses berkaitan termasuk permohonan kebenaran daripada Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah supaya jarak tertentu jalan-jalan ke sekolah ini dinaiktaraf di bawah JPD. Daripada semua sekolah yang kami lawati ini, akan ada jalan yang dinaiktaraf lebih dahulu, dan akan ada yang terkemudian,” katanya.

Turut sama dalam lawatan tersebut wakil KPLB Persekutuan Sabah, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Sualim Sanan, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kota Belud Norshafie Dukah, Setiausaha Politik KPLB Sabah Carlye Lajimin dan pegawai-pegawai persekutuan dan negeri.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan