Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KPLB dan Kementerian pelancongan akan bekerjasama majukan pelancongan luar bandar

Ewon bergambar bersama guru-guru dan murid SK Sayap, peneraju Edu-Tourism di Kadamaian.

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pelancongan Sabah dan Persekutuan akan bekerjasama bagi memajukan lagi sektor pelancongan luar bandar di negeri ini.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick yakin kerjasama mantap kedua-dua kementerian itu di peringkat negeri dan pusat akan dapat melengkapi keperluan untuk memajukan sektor pelancongna luar bandar.

 

“Sebaik diberi mandat sebagai Menteri KPLB Sabah yang baru, perkara pertama yang saya buat ialah melihat dasar di peringkat kementerian sama ada kita dapat memasukkan Pembangunan Eko Pelancongan Luar Bandar.

 

“KPLB Sabah menerima Eko Pelancongan sebagai sebahagian daripada program pembangunan luar bandar.

 

“Selain itu KPLB Persekutuan juga bersetuju bekerjasama dengan KPLB Sabah dari segi pembiayaan untuk membantu Kementerian Pelancongan Sabah dan Persekutuan memperkasa dan membangunkan lagi sektor pelancongan luar bandar termasuk pelancongan berasaskan pendidikan (Edu Tourism),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Tambulion Ulu, di Dewan Terbuka kampung itu, di sini, pada Sabtu.

 

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pelancongan luar bandar di Kadamaian amat berpotensi untuk dimajukan selain bidang pertanian.

 

Dari segi promosi eko pelancongan luar bandar khususnya di Kadamaian, beliau berkata, secara keseluruhannya Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) mempunyai pelbagai program tahunan yang telahpun dimulakan beberapa tahun lepas termasuk bulan melawat Kadamaian dan Tamu Badi Kadamaian.

 

“Program-program seperti itu dapat membantu mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Kadamaian selain promosi melalui media sosial seperti Facebook,” katanya.

 

Beliau berkata, kementeriannya juga akan memberikan peruntukan “touch point’ sebanyak RM30,000 kepada KATA bagi membantu memajukan lagi eko pelancongan luar bandar kawasan itu.

 

“Saya mengalu-alukan cadangan dan pandangan daripada persatuan-persatuan pelancongan Kadamaian termasuk pengusaha persendirian dan guru-guru yang terlibat dalam Edu Tourism bagiamana untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.

 

Ewon berkata, beliau turut merancang untuk mengadakan malam penghargaan untuk pengusaha pelancongan di Kadamaian sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan pelancongan kawasan itu.

 

Mengenai sambutan kaamatan, beliau berkata penganjuran Pesta Kaamatan di kampung itu berlainan daripada kampung-kampung lain di Kota Belud.

 

“Ini kerana selain dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, mereka juga mengadakan pameran mempromosikan pelancongan luar bandar Kadamaian,” katanya.

 

Antara acara yang dipertandingkan pada sambutan itu ialah, pertandingan masakan tradisional, pameran dan jualan baju bermotifkan etnik Sabah.

 

Ewon turut merasmikan Pesta Kaamatan, Raya dan Kesyukuran gabungan lima kampung NATESA (Kg.Nahaba, Tegudon, Telungan, Terintidon dan Sayap), di Dewan Layu Kg Nahaba Kota Belud.

 

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sumbangan RM3,000 untuk pembaikan tandas dewan kampung Nahaba./SayangSabah

Ewon melihat masakan tradisional yang dipertandingkan pada majlis itu.

Komen


Berita Berkaitan