Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KPLB akan perkasakan program ekonomi desa Kadamaian

Ewon dan Risin menunjukkan produk Madu Asli Kelulut Kampung Pinolobu.

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperkasakan Program Pembangunan Ekonomi Luar Bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dengan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program ekonomi di setiap mukim.

Menterinya, Ewon Benedick, berkata beberapa kampung di Kadamaian telahpun dikenalpasti untuk dibangunkan melalui Program Pembangunan Ekonomi Desa di bawah KPLB.

“Antara kampung yang saya kenalpasti ialah Kampung Pinolobu sebagai pusat pengeluaran produk berasaskan madu kelulut.

“Manakala Kampung Sayap untuk pelancongan, Kampung Kiau untuk produk berasakan nenas dan beberapa kampung lagi dikenalpasti untuk industri desa yang berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas merasmikan Sambutan Kaamatan di empat buah kampung berlainan di Kawasan DUN Kadamaian iaitu Kampung Pinolobu, Kg.Mangkulat, Kg.Tuguson dan Kg.Sogoh, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, di bawah Program Pembangunan Ekonomi Desa, para peserta dan kampung-kampung terbabit akan dibantu dari segi latihan dan kemudahan bangunan mini kilang.

“Saya berharap dapat mencetuskan penciptaan sumber ekonomi yang lebih baik di Kadamaian,” katanya.

Menurut Ewon, KPLB membangunkan beberapa industri di bawah program ekonomi desa selama ini iaitu industri kraftangan, burung walit, kulinari (pemprosesan kuih), tekstil (menjahit) dan produk akuakultur.

Namun beliau mahu memperkenalkan program-program baru seperti berasaskan pelancongan, pertanian dan makanan yang bersesuaian dengan potensi sedia ada kampung tersebut.

“Inilah aspirasi saya supaya kita dapat mempelbagaikan pembangunan desa bukan hanya dari segi keperluan asas infrastruktur tetapi juga pembangunan ekonomi desa di seluruh Sabah,” katanya.

Dalam kunjungan ke Kg Pinolobu, Ewon meluangkan masa melawat penternakan madu kelulut yang diusahakan oleh Koperasi Kampung Pinolobu.

“Saya bangga kerana komuniti Kampung Pinolobu mengambil serius industri ini dan berusaha bersama membangunkan aktiviti ekonomi mereka.

“Melihat komitmen mereka ini, saya fikir KPLB juga perlu memainkan peranan bagaimana boleh membantu memperkasakan program ekonomi seperti ini.

“Sebab itu saya mahu Program Ekonomi Desa KPLB diperkembangkan untuk memasukkan program-program baru,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Koperasi Pinolobu Berhad Risin Sikin berkata, penduduk kampung itu memulakan perusahaan dan penternakan madu kelulut atau tantadan pada tahun 2016 dan mula menuai hasil pada tahun lalu.

“Sehingga kini, kami berjaya membina sebanyak 300 rumah tantadan yang diusahakan lebih 10 penduduk kampung.

“Kami melihat penternakan madu kelulut ini amat berpotensi untuk dibangunkan di Kampung Pinolobu kerana ia mempunyai permintaan tinggi. Oleh itu saya berharap lebih ramai penduduk kampung menyertai program ini untuk sama-sama meningkatkan sumber pendapatan keluarga,” katanya.

Risin berkata, produk Madu Asli Kelulut kampung itu hanya dipasarkan di peringkat kampung dan tidak dapat menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

 Sehubungan itu beliau berharap KPLB dapat membantu membina sebuah kilang memproses madu kelulut di kampung itu untuk memajukan lagi perusahaan madu kelulut Koperasi Pinolobu Berhad.

 Mengenai koperasi itu Risin berkata, ia ditubuhkan pada 2016 dan kini mempunyai dua produk utama iaitu Eco Pelancongan Maranggoi dan Produk Madu Kelulut Asli./SayangSabah

Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian pesta kaamatan di Kg.Tuguson, turut kelihatan Nuin Lumbihan KK Tuguson(kiri), Miran Simbeh JKKK Tuguson (tiga dari kiri) dan KK Santih Kunong (dua dari kanan).

Komen


Berita Berkaitan