Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,692

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KPDNKK senaraikan 12 barang dalam skim kawalan harga sempena Tahun Baru Cina

6:57pm 02/02/2016 Leolerry Lajius 329 views Tempatan
Amisah (kiri) bersama skuad pengguna dan penguasa KPDNKK ketika meninjau harga di pasar tersebut.-Gambar Oleh Alex Mairin

Amisah (kiri) bersama skuad pengguna dan penguasa KPDNKK ketika meninjau harga di pasar tersebut.-Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyenaraikan 12 jenis barangan  dalam skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2016 bagi kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar yang akan berkuatkuasa pada 3 hingga 14 Februari.

Menurut Pengerusi Skuad Pengguna Sabah Datuk Amisah Yasin ketika membuat pemantauan harga di pasar besar Kota Kinabalu pagi tadi, secara keseluruhannya harga yang ditetapkan oleh para peniaga adalah mematuhi skim kawalan harga.

“Selepas membuat tinjauan harga di pasar besar ini, secara keseluruhannya harga yang ditetapkan oleh peniaga adalah mematuhi skim kawalan harga yang telah ditetapkan malah ada yang menjual lebih murah daripada yang telah ditetapkan,”katanya.

Sementara itu, menurut Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Alani Dabi, peniaga dinasihatkan agar  tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan bukan kawalan dan memastikan barangan kawalan diletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Peniaga sama sekali dilarang untuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barang bukan kawalan kerana akan menimbulkan persepsi negatif pengguna dan bagi barang yang disenaraikan dalam skim kawalan harga, mereka harus meletakkan tanda harga berwarna merah jambu agar masyarakat tahu ia merupakan barang kawalan,”katanya.

Barang yang disenaraikan dalam skim kawalan harga adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.

Tindakan akan diambil ke atas peniaga sekiranya didapati melakukan kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang telah ditentukan, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal dan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah.

Amisah (Tiga dari kanan) menunjukkan penimbang yang khas untuk orang awam yang boleh digunakan oleh orang awam ketika membeli di pasar tersebut.-Gambar Oleh Alex Mairin

Amisah (Tiga dari kanan) menunjukkan penimbang yang khas untuk orang awam yang boleh digunakan oleh orang awam ketika membeli di pasar tersebut.-Gambar Oleh Alex Mairin

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan