Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,800

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KPDNKK Sabah Rekod 32 Kes Pelbagai Kesalahan Dalam Operasi Seluruh Negeri

11:34pm 12/02/2016 Pak Roshan 178 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

kpdnkk23

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah merekodkan 32 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun RM16,800 dikeluarkan dalam pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim perayaan Tahun Baru Cina dan Op Restoran, Khamis.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sabah Yahya Sujak berkata ini adalah hasil pemeriksaan di 359 premis perniagaan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata kes-kes yang direkodkan itu masing-masing membabitkan pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan dan Peraturan-peraturan Jualan Murah 1977 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Ada sebahagian premis yang diperiksa gagal meletakkan tanda harga pada barangan dijual, peniaga menggunakan alat timbang yang tamat tempoh sah dan menjalankan aktiviti jualan murah tanpa notis sah,” katanya kepada Bernama dalam kenyataan di sini Jumaat.

Yahya berkata dalam operasi itu juga, pihaknya turut mengeluarkan lima notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata KPDNKK Sabah sentiasa komited membuat pemantauan kepada kawasan tumpuan orang awam membeli barangan keperluan terutama bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar bagi memastikan mereka tidak dibebani dengan peningkatan kos sara hidup.

“KPDNKK tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang keperluan tanpa sebab yang munasabah walaupun di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahya berkata pihaknya telah mengenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan terhadap sebuah premis di Kampung Pinggan-Pinggan di Pitas kerana menjual kad prabayar melebihi harga disyorkan iaitu RM5 kepada RM5.20 dan RM10 kepada RM10.50.

“Penguatkuasaan tegas ini adalah indikasi kepada peniaga-peniaga yang tidak beretika supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan sekali gus memastikan mereka tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan