Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KPDNKK Lahad Datu rampas barangan bernilai lebih RM65,000

kpdnkk

LAHAD DATU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Daerah merampas barangan bernilai RM66,659.80 sepanjang operasi enam bulan pertama di sini.

Ketua Cawangan KPDNKK Hamat Talip berkata, sepanjang Januari hingga Jun 2014, sebanyak 35 kes kesalahan yang melibatkan rampasan barangan bernilai RM66,659.80 dan 22 kes telah membayar kompaun bernilai RM6,600 manakala dua kes dihukum denda di mahkamah bernilai RM31,000.

“Nilai rampasan itu adalah hasil pemeriksaan yang berterusan di 9,919 premis dan sebanyak 35 kes diambil tindakan mengikut lima peruntukan akta yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini kelmarin.

Menurutnya, kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 mencatat jumlah kes terbanyak iaitu 17 kes dengan nilai rampasan RM2,950.

Akta ini memperuntukkan kesalahan perseorangan (pertama) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 25 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi Akta Timbang Sukat 1972, di mana pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM4,000 atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan, pula mencatatkan lapan kes dengan nilai rampasan RM1,971.

Hamat berkata, sebanyak lima kes dilaporkan dengan nilai rampasan RM48,433.80 dalam kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 dan penjara tiga tahun bagi pesalah individu jika sabit kesalahan, manakala bagi kesalahan melibatkan pihak syarikat pula denda sehingga RM250,000 dan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, sebanyak empat kes dengan nilai barangan rampasan RM13,268 dicatatkan dan akta ini memperuntukkan denda maksimum untuk syarikat sehingga RM15,000 bagi setiap barang manakala individu dikenakan denda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Satu kes dicatatkan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang menghasilkan nilai barangan rampasan RM216.70.

Menurut Hamat, KPDNKK turut menerima 27 aduan melalui panggilan telefon dan berjaya menyelesaikan 21 kes aduan manakala enam lagi masih dalam peringkat tindakan susulan.

“Saya berharap agar kerjasama padu dari masyarakat di daerah berterusan dan KPDNKK cawangan daerah akan terus menjalankan aktiviti untuk mempertingkatkan kesedaran kepenggunaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan