Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,795

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KPDNKK akan senaraikan jenama minyak masak bersubsidi

6:43pm 08/11/2016 Pak Roshan 165 views Isu Semasa,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menyenaraikan 285 jenama minyak masak bersubsidi dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan kekeliruan antara minyak masak berkenaan dan minyak masak kitar semula.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata inisiatif itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak beretika mengambil kesempatan untuk memasarkan minyak masak kitar semula itu sebagai minyak masak paket bersubsidi.

“Kita akan umumkan jenama-jenama minyak masak supaya rakyat tahu jenama sebenar yang mendapat subsidi kerajaan. Minyak masak selain daripada senarai itu bermakna ia tidak diberi subsidi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Integriti KPDNKK Tahun 2016 di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan akan mengarahkan Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan menjalankan pemeriksaan terhadap minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan hanya minyak sawit yang dijual dan bukan minyak kitar semula.

Hamzah berkata, satu perjumpaan dengan pengusaha minyak masak kitar semula akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara-perkara seperti pembungkusan dan sasaran pengguna minyak masak kitar semula.

Beliau menjelaskan bahawa pembungkusan minyak masak kitar semula harus berlainan daripada minyak masak bersubsidi yang dipaket dalam beg plastik kerana ia akan mengelirukan pengguna.

“Bilangan pengusaha minyak masak kitar semula adalah sangat kecil di negara ini. Kita perlu mendapatkan penjelasan daripada mereka mengenai penggunaan minyak masak kitar semula.

“Ia (minyak masak kitar semula) tidak semestinya dijual untuk kegunaan manusia sebaliknya ia boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti makanan binatang, sabun dan biodiesel,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata KPDNKK akan melakukan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan semua agensi penguat kuasa bagi mengekang penyeludupan barangan bersubsidi seperti minyak masak, gas cecair petroleum (LPG) dan tepung gandum ke negara jiran.

“Kita hanya ada kira-kira 2,500 anggota penguat kuasa dan ini adalah tidak mencukupi untuk menangani permasalahan itu secara sendirian,” katanya.

Antara agensi penguat kuasa yang akan terlibat dalam kerjasama itu adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM). – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan