Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KPDNHEP KELUAR NOTIS, SIASAT KENAIKAN HARGA ALAT GANTI KENDERAAN

Yahya (kiri) dan Ravichandran (dua kanan) bersama-sama dalam Ops Catut 5.0 yang dijalankan di salah sebuah pusat penyelengaraan kenderaan. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan notis kepada dua buah premis yang menyediakan perkhidmatan penyelengaraan kenderaan tempatan dalam satu operasi dan pemeriksaan Ops Catut 5.0 hari ini.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Ravichandran Vadivellu berkata, notis yang dikeluarkan itu adalah disebabkan terdapatnya kenaikan harga alat ganti di dalam premis berkenaan selepas perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kedua-dua notis yang dikeluarkan ini disebabkan terdapatnya rekod kenaikan harga barangan atau alat ganti mereka.

“Kita dapati, bekalan berkenaan adalah stok lama namun terdapat peningkatan dari segi harga.

“Notis yang dikeluarkan ini adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk tujuan siasatan lanjut bagi memastikan punca kenaikan harga berkenaan,” katanya.

 

Pengarah KPDNHEP Yahya Sulaiman (dua kiri) turut serta dalam Ops Catut 5.0 yang dijalankan terhadap beberapa premis sekitar Kota Kinabalu hari ini. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjalankan Ops Catut 5.0 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua premis berkenaan diberi tempoh lima hari untuk memberikan sebab kenaikan harga barang atau alat ganti yang ditawarkan kepada pengguna.

Sementara itu, Ravichandran yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP menjangkakan harga barangan di Sabah akan kekal walaupun selepas perlaksanaan SST berkenaan.

Jelasnya, melalui maklumat yang mereka perolehi, peringkat premis di Sabah yang dikenakan SST masih mempunyai bekalan untuk penggunaan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Dalam pada itu, dijangka harga akan kekal. Jika adapun kenaikan, kemungkinan besar hanya satu atau dua barang yang akan masuk kemudian.

Ravichandran (tengah) menunjukkan harga barangan salah sebuah premis yang dilawat tidak dinaikkan walaupun selepas perlaksanaan SST. – Gambar SNT/Alfred Petrus

“Dan buat masa ini kita dapati daripada dua premis lain yang kita lawati iaitu sebuah kilang dan pemborong, mereka tidak menaikan harga barangan walaupun ia stok lama mahupun baru.

“Nampaknya, mereka serap kos baru ini ke dalam pengoperasian mereka,” jelasnya. –SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan