Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KOSAN DISARAN TIDAK TERLALU BERHARAP KEPADA BANTUAN KERAJAAN TAWFIQ

tawfiq

KOTA KINABALU, 5 Jan : Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (Kosan) disaran agar tidak terlalu berharap kepada pesanan kerajaan dalam menjalankan perniagaan bekalan pakaian seragam dan kasut sekolah mereka.

Pengerusinya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Kosan tidak boleh berada pada zon selesa dengan hanya bergantung kepada pesanan kerajaan, sebaliknya perlu melangkah lebih jauh untuk bersaing dalam pasaran terbuka sama ada pasaran domestik mahupun antarabangsa.

“Kosan perlu meningkatkan prestasi mereka bukan sahaja dari segi jahitan malah memenuhi piawaian standard tertentu yang membolehkan mereka diterima dalam persaingan kompetitif pasaran pengeluaran pakaian. Pelanggan perlu mempercayai kualiti jahitan yang dikeluarkan oleh Kosan untuk mereka melakukan tempahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada 50 peserta Program Seni Kreatif Jahitan Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga tiga, anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah hari ini.

Pada tahun ini, Kosan menerima pesanan kerajaan bernilai RM16.41 juta untuk membekal pakaian seragam dan kasut sekolah bagi 271,696 murid di Sabah.

Tawfiq berkata Kosan perlu bersedia berubah dan melakar hala tuju masa hadapan dengan menetapkan standard piawaian terbaik dari segi pengurusan serta pengeluaran kualiti jahitan dan kualiti produk yang meyakinkan pelanggan.

Beliau turut menyuarakan keinginannya melihat Kosan dapat bekerjasama dengan syarikat-syarikat multinasional untuk mengeluarkan pakaian yang berjenama antarabangsa seperti Nike dan Adidas.

Dalam perkembangan berkaitan, Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah mahu Kosan melakukan perubahan termasuk mengambil pekerja mahir yang terlatih dan memiliki sijil-sijil pengkhususan tertentu seperti kemahiran jahitan daripada akademi atau institut jahitan.

Sementara itu, Tawfiq berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kementeriannya untuk membantu para belia terutamanya belia di luar bandar untuk memperoleh latihan kemahiran termasuk bidang menjahit, hospitaliti dan memasak.

“Tumpuan adalah kepada belia di luar bandar yang tergolong dalam keluarga atau masyarakat miskin (untuk) keluar dari garis kemiskinan. Peluang diberikan kepada mereka untuk menjalani latihan kemahiran bersijil serta diiktiraf kerajaan sekali gus membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Usaha kementeriannya itu adalah sejajar dengan hasrat kepimpinan negeri Sabah yang diterajui Datuk Seri Musa Aman agar negeri Sabah terus maju dengan rakyat menikmati kemajuan dan berada dalam kehidupan lebih selesa.–BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan