Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Korban nahas Hercules 142

SEORANG wanita meratap di sisi keranda suaminya yang terkorban dalam nahas itu.
SEORANG wanita meratap di sisi keranda suaminya yang terkorban dalam nahas itu.

Medan: Jumlah kematian akibat nahas pesawat tentera di Indonesia, kelmarin mencecah 142 orang apabila beberapa penduduk kawasan kediaman tempat kapal terbang itu terhempas juga disahkan terbunuh.

Mayat ditemui di celah runtuhan rumah di Medan, tempat pesawat Hercules C-130 itu terhempas sejurus berlepas, Selasa lalu, kata jurucakap polis Sumatera Utara Mejar A Tarigan kepada TVOne.

Menurut tentera, pesawat itu membawa 122 orang termasuk anggota tentera dan keluarga mereka. Pihak berkuasa tidak menjangka ada penumpang yang terselamat.

Pada awalnya, tentera udara melaporkan 12 anak kapal di dalam pesawat itu tanpa menyebut jumlah penumpang dibawanya.

Namun, jumlah mangsa di dalam pesawat itu kemudian meningkat, menimbulkan tanda tanya sama ada kapal terbang itu menerima penumpang berbayar.

Amalan menumpang pesawat tentera untuk sampai ke lokasi terpencil biasa dilakukan di Indonesia, namun ada usaha untuk mengekangnya.

Pesawat malang itu terbang dari Jakarta dan berhenti di dua lokasi sebelum tiba di Medan.

Ketua tentera udara Agus Supriatna berkata, pesawat itu hanya dibenarkan membawa tentera yang mendapat kebenaran dan keluarga mereka.

Sehubungan itu, dia akan menyiasat dakwaan terdapat penumpang yang berbayar.

Salinan senarai penumpang diperoleh Associated Press menunjukkan ada 32 penumpang tanpa dinyatakan jawatan mereka.

Selebihnya dipercayai anggota tentera atau keluarga mereka.

Sementara itu, anggota keluarga mangsa berkumpul di Hospital Adam Malik untuk menerima mayat saudara masing-masing.

Lebih 100 keranda disediakan di hospital itu.

Beberapa wanita kedengaran menangis dan memanggil nama orang tersayang yang terkorban dalam nahas itu.

Sekumpulan pelajar sekolah Katolik di Medan juga menjerit menangis selepas beg mayat yang dibuka menunjukkan mayat rakan sekelas mereka Esther Lina Josephine, 17.

Mayat Esther yang lebam teruk dilihat memeluk mayat adik perempuannya berusia 14 tahun.

Pengetua sekolah Tarcisia Hermas berkata: “Nampak seperti dia mahu melindungi adiknya. Kami kehilangan dua pelajar baik, bijak dan kreatif.”

Katanya, dua beradik itu mengambil kesempatan cuti sekolah untuk melawat ibu bapa mereka di Natuna, tempat ayahnya bertugas sebagai tentera.

Jurucakap hospital Sairi M Saragih berkata, lebih 60 mayat sudah dikenal pasti.

Pesawat itu terhempas hanya dua minit sejurus berlepas dari pangkalan tentera udara Soewondo di Medan untuk menuju ke Natuna.

Menurut saksi, pesawat itu dilihat terbang rendah dalam keadaan terbakar dan berasap sebelum terhempas.

Juruterbang dilapor memaklumkan kepada menara kawalan mengenai hasratnya untuk berpatah balik selepas menyedari enjin pesawat itu bermasalah.

Nahas berlaku ketika pesawat itu cuba berpatah balik ke lapangan terbang.

SEORANG wanita menangis ketika berdiri berhampiran beg mayat yang disusun di hospital.
SEORANG wanita menangis ketika berdiri berhampiran beg mayat yang disusun di hospital.

Komen


Berita Berkaitan