
KOTA KINABALU: Banyak koperasi sekolah di negeri ini telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang perniagaan dan memperolehi pendapatan lumayan hasil daripada kewujudan koperasi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini bermakna, koperasi sekolah berkemampuan menjalankan perniagaan dan menjana perolehan sama seperti koperasi lain biarpun pada masa sama guru-guru dan pelajar sibuk dalam urusan pembelajaran.
“Kewujudan koperasi sekolah juga secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan baharu kepada bekas pelajar dan penduduk setempat.
“Walaupun penubuhannya diperingkat sekolah, namun banyak koperasi sekolah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang perniagaan dan memperolehi keuntungan lumayan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) dan Karnival Pendidikan Kerjaya Maktab Sabah di Dewan Perdana Maktab Sabah di sini hari ini.
Teks ucapan Shafie dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang.

Koperasi sekolah ditubuhkan pada 1968 hasil cetusan idea Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang pertama iaitu Prof Diraja Ungku Aziz.
Shafie berkata, pada masa itu penubuhan koperasi lebih kepada memberi pendedahan mengenai nilai kepimpinan dan dunia perniagaan kepada pelajar.
“Pada hari ini, penubuhan koperasi sekolah bukan sekadar mendidik para pelajar dalam bidang keusahawanan, malah berperanan untuk memberi pelbagai faedah dan pulangan kepada warga sekolah melalui keuntungannya.
“Selepas 50 tahun penubuhannya, kita dapat melihat pertambahan pertambahan 2,388 koperasi sekolah yang berdaftar di seluruh negara sehingga Jun tahun lalu,” katanya.
Mengenai sambutan hari koperasi itu, beliau berkata, program itu boleh dijadikan wadah dalam pembentukan jati diri generasi muda dalam bidang keusahawanan dan platform awal untuk membina ciri-ciri seorang usahawan sebaik sahaja pelajar menamatkan pelajaran.
“Saya amat bangga dengan pencapaian Maktab Sabah kerana bukan sahaja telah berjaya mengendalikan koperasi sekolah, malah telah membawa koperasi ini ke peringkat yang lebih maju sehingga dinaiktaraf menjadi Co-op Mart,” jelasnya.-SabahNewsToday