Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kopeks catat keuntungan RM24.3 juta

KOTA KINABALU – Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) mencatat keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM24.3 juta bagi tempoh 2008 hingga 2014.

Pengerusinya, Datuk Maznah Abdul Ghani berkata, daripada jumlah keuntungan itu, Kopeks membayar dividen kepada ahlinya setiap tahun iaitu sebanyak empat peratus pada tahun 2008 dan tujuh peratus bagi 2009 hingga 2011.

Menurutnya, pembayaran dividen itu terus meningkat kepada 12 peratus pada tahun 2012 dan 2013, iaitu 10 peratus atas Saham berbentuk dividen dan saguhati masing-masing lima peratus dan dua peratus atas yuran keahlian.

“Kita turut membuat pembayaran dividen tahun 2013 kepada anggota daripada Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga dan Jabatan Air dan beberapa jabatan lain di bawah KPI.

“Jumlah keseluruhan dividen Kopeks bagi tahun 2013 ialah berjumlah RM934,311,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Insentif Pendidikan Anak Anggota Kopeks Bagi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2013 dan Pengagihan Dividen Kopeks.

Majlis itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif. Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sabah, Umar Sarim Saidin; Ketua Pegawai Eksekutif Kopeks Buvil Angkui dan Ahli-Ahli Lembaga Koperasi Kopeks.

Maznah berkata, selain memberikan pinjaman biasa kepada anggotanya untuk membaiki rumah, membiayai persekolahan anak ke universiti dan kos rawatan keluarga, Kopeks juga membantu lebih 300 penjawat awam yang terjerumus dalam beban hutang atau pinjaman ‘along. Melalui program pemutihan ini, Kopeks telah mengeluarkan pinjaman lebih RM3.2 juta daripada dana dalaman untuk membantu penjawat awam bebas dari hutang berat mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi kebajikan anggota dalam pemberian insentif kepada anak-anak anggota cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM, Kopeks telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 setiap tahun untuk tujuan itu.

“Pada hari ini sejumlah RM20,000 insentif tunai diserahkan kepada pelajar cemerlang PMR dan SPM. Kita yakin program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini boleh memberi kesedaran dan meningkatkan komitmen serta iltizam untuk sama-sama mendokong koperasi menjadi sebuah organisasi yang lebih prihatin,” katanya.

Maznah berkata, sejak diwujudkan kira-kira 52 tahun yang lalu sebagai sebuah koperasi kecil, kini Kopeks boleh berbangga apabila muncul koperasi kredit terbesar milik penjawat awam di negeri ini dengan aset pinjaman keseluruhan bernilai lebih daripada RM160 juta.

Beliau memberitahu, Kopeks juga berjaya mencatat untung bersih dan mampu membayar dividen kepada anggota setiap tahun sejak tahun 2008. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan