Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Koordinasi APMM, Pasukan Penyelamat Dapat Selamatkan Mangsa Feri MV Zuhairi

9:36am 08/01/2016 Pak Roshan 121 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

feri

TAWAU : Kecekapan dan koordinasi baik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan penyelamat lain dapat berjaya menyelamatkan kesemua mangsa insiden feri ‘MV Zuhairi Port Kelang’ dalam tempoh 35 minit, selepas ia karam di perairan Pelabuhan Semporna malam tadi.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Kapten Anor Jaafar berkata kesemua 160 penumpang dan anak kapal feri yang terdiri daripada warga Malaysia dan Filipina dapat diselamatkan kira-kira 9.15 malam.

Namun, seramai 24 penumpang cedera dalam insiden itu dan dirawat di Hospital Semporna.

“Selepas dapat maklumat, kami yang kebetulan berada di kawasan berdekatan, bertindak memberi bantuan sekali gus memaklumkan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCom) mengenai insiden itu. Dalam tempoh 35 minit kesemua mangsa berjaya diselamatkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain APMM, katanya Pasukan Polis Marin dan pemilik bot persendirian juga membantu menyelamatkan mangsa feri itu.

Anor berkata tongkang yang dilanggar feri itu sedang dikesan selepas gagal ditemui di kawasan perairan sekitar dan dipercayai dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Lahad Datu.

“Kami sedang mengesan tongkang tidak berlampu di bahagian hadapan sebelah kiri, namun siasatan lanjut kes ini akan diuruskan Jabatan Laut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, feri penumpang yang dalam perjalanan dari Bongao, Kepulauan Tawi-Tawi di Filipina dan menuju ke Semporna, dilaporkan berlanggar dengan sebuah tongkang kosong tidak berlampu.

Sehubungan itu, Anor mengingatkan semua pengusaha bot supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak insiden sedemikian berulang.

Beliau meminta kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kecemasan di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau pusat operasi DM18 di talian 089-752115.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan