Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KONSPIRASI POLITIK BURUKKAN NAMA BAIK UPKO: ALBERT BINGKASAN

KOTA KINABALU: Upko menafikan dengan keras tentang dakwaan kewujudan “Projek IC” terbaharu seperti yang ditularkan melalui media sosial serta laman-laman sesawang yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

“Upko yakin tindakan yang dilakukan oleh media-media sosial serta laman-laman sesawang ini didalangi oleh pihak-pihak berkepentingan politik serta berniat jahat, untuk mengganggu kestabilan politik pada masa kini serta bertujuan untuk mewujudkan suasana tidak aman di kalangan rakyat Sabah,” kata Ketua Penerangan Upko, Albert Bingkasan.

Upko berharap pihak berkuasa seperti polis serta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi memantau dan mengambil tindakan segera apabila terbukti pihak-pihak ini melakukan fitnah, katanya.

Ketua Penerangan Upko, Albert Bingkasan. Gambar Fail SNT

Upko turut menyelar tindakan pihak-pihak berniat jahat ini yang seakan telah menyediakan konspirasi politik dengan tujuan untuk memburukkan nama baik parti itu, katanya.

“Mereka telah menyediakan skrip negatif untuk menyerang pemimpin-pemimpin Upko terutama Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pemangku Presiden Upko apabila pemimpin-pemimpin parti bertindak ke atas tuduhan jahat yang menular di media sosial,” katanya di sini hari ini.

Menurut Albert, gerak kerja para konspirator ini sangat mudah:

“Apabila pemimpin Upko membuat laporan polis meminta penjelasan dari pihak-pihak yang bertanggungjawab, pemimpin ini pula akan dituduh panik dan kononnya cuba menutup kesalahan.

“Sekiranya pemimpin Upko mengambil pendirian untuk berdiam diri, maka pemimpin UPKO akan dituduh sebagai bersubahat.”

Dalam hal ini, katanya, Upko berdiri teguh di belakang pemangku presiden yang berulang-kali meminta supaya cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya DiRaja Siasatan Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin Sabah atau RCI dilaksanakan dengan kadar segera.

“Pendirian Upko konsisten; kami setuju hanya rakyat Malaysia di Sabah yang tulen berhak untuk memegang kad pengenalan negara. Malah, Upko mahu mereka yang mendapatkan kad pengenalan melalui cara-cara yang tidak sah dikenakan tindakan dan hukuman.

“Kita yakin bahawa Upko dan Datuk Seri Panglima Wilfred mendapat sokongan rakyat Sabah dalam menangani masalah-masalah pendatang tanpa izin di Sabah dan komited untuk mencari penyelesaian dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Katanya lagi, Upko juga menyeru agar rakyat Sabah tidak mudah tertipu dengan tohmahan dan konspirasi jahat pihak yang berkepentingan dan terus menyokong Upko yang merupakan pejuang Sabah yang tulen.

“Pada masa yang sama, Upko menggesa agar konspirator-konspirator ini meluangkan lebih banyak masa dan tenaga mencurah bakti kepada Sabah dan bukannya melakukan yang bukan-bukan yang hanya akan menggugat kestabilan dan ketenteraman Sabah.

Albert berkata Upko tidak akan berdiam diri sekiranya serangan terhadap parti itu berterusan.

“Upko tidak gentar untuk menghadapi sesiapapun demi melindungi hak-hak rakyat Sabah dan negeri Sabah,” ujarnya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan