Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Konspirasi Membunuh Nabi Yusuf AS

Gambar Hiasan

 

(Ramai di antara mereka berkata): “Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”. Surah Yusuf (12): 18.

 

Pendahuluan

 

Kita kena yakin bahawa setiap kisah yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran mempunyai mesej penting. Al-Quran bukan sahaja mahu menceritakan kisah ini hanya kepada Nabi Muhammad SAW, malah al-Quran juga mahu memberitahu kita semua pada hari ini bahawa bacalah kisah di dalam al-Quran kerana banyak ibrah yang akan kita dapat daripadanya.

 

Kali ini saya mahu membawa kisah “Konspirasi Membunuh Nabi Yusuf AS” yang melibatkan bapanya iaitu Nabi Yaakub AS, Nabi Yusuf AS dan juga adik beradik tirinya. Ini merupakan episod pertama daripada banyak episod tentang Nabi Yusuf AS.

 

Jika anda buka al-Quran, anda akan menemui kisah ini di dalam Surah Yusuf bermula daripada ayat 4 hingga ayat 18.

 

Konspirasi Bermula

 

Mereka adik-beradik tiri telah berbincang sesama mereka dan mempersoalkan kenapa bapanya (Nabi Yaakub AS) itu melebihkan layanan kepada Nabi Yusuf AS dan juga Bunyamin? Sedangkan mereka itu hanya dua orang sahaja berbanding kita (adik-beradik tiri) ini ramai.

 

Untuk pengetahuan anda Bunyamin merupakan adik beradik kandung Nabi Yusuf AS.

 

Mereka pun sepakat bahawa bapanya itu tidak adil. Lalu merancang satu konspirasi untuk membunuh Nabi Yusuf AS supaya bapanya itu memberi perhatian kepada mereka dan mereka berazam selepas itu mereka akan bertaubat.

 

Ibrah pertama : Adil Kepada Semua Anak

Dalam babak ini Allah SWT ingin mengajar kita bahawa sebagai seorang bapa kita perlu melayan semua anak kita dengan adil. Kita tidak menafikan bahawa dalam ramai-ramai anak kita itu ada yang kita ‘sayang lebih’ kepadanya.

Perasaan ‘sayang lebih’ itu terdetik berbanding dengan anak kita yang lain kerana anak yang sorang ini dia soleh, bijak,  hensem dan lebih menonjol berbanding dengan anak kita yang lain.

Itulah fitrah manusia.

Namun, kita tetap tidak boleh menzahirkan ‘sayang lebih’ itu. Biarlah perasaan itu tersemat hanya di dalam hati kita. Contohnya jika anak pertama dapat baju baru, anak yang lain pun mesti dapat baju baru.

Begitulah seterusnya.

Namun di dalam kes ini, tidak dinyatakan secara jelas apakah perbuatan Nabi Yaakub AS yang ‘sayang lebih’ kepada Nabi Yusuf AS dan Bunyamin. Jadi ini hanyalah sangkaan yang datang daripada adik-beradik tirinya semata.

 

Ibrah Kedua : Taubat Yang Tidak Diterima

Dalam babak ini juga Allah ingin mengajar kita bahawa taubat bukanlah sesuatu perkara  yang boleh dibuat-buat. Taubat sebegini sudah pasti tidak akan diterima oleh Allah SWT seperti mana yang telah dirancang oleh adik-beradik tiri Nabi Yusuf AS.

Contohnya kita mahu merompak bank untuk menjadi kaya. Kemudian bila dah kaya kita taubatlah dan kita infakkanlah harta yang kita ada kepada orang yang memerlukan.

Taubat adalah satu kesedaran yang lahir daripada hati yang suci bersih setelah melakukan dosa.

 

Ibrah Ketiga : Hasad Dengki Menghancurkan

Perbuatan hasad dengki sangat bahaya. Hasad dengki ialah perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat kebaikan, kejayaan dan lain-lain.

Lihatlah kisah Iblis yang berjaya mengeluarkan Nabi Adam AS daripada Syurga kerana hasad. Begitu juga dengan kisah ini sehingga sanggup membunuh saudaranya sendiri.

Jangan ikut jejak Iblis dan juga adik-beradik tiri Nabi Yusuf AS.

 

Campak Ke Dalam Perigi

 

Namun salah seorang daripada mereka mengatakan bahawa kita tidak perlu bunuh Nabi Yusuf AS, cukup sekadar kita buangnya ke dalam perigi yang dalam dan jauh daripada orang ramai.

 

Setelah mendapat keizinan daripada bapanya untuk membawa Nabi Yusuf AS bermain di luar, mereka pun menjalankan rancangan jahatnya.

 

Campak Nabi Yusuf AS ke dalam perigi.

 

Walaupun sebelum itu mendapat tentangan daripada bapanya kerana bimbang Nabi Yusuf AS akan dimakan oleh serigala. Namun mereka memberi jaminan kepada bapanya yang mereka akan jaga Nabi Yusuf AS dengan baik.

 

Tetapi Allah SWT telah memberi wahyu kepada Nabi Yusuf AS bahawa baginda tidak akan apa-apa. Baginda akan selamat kerana Allah akan selamatkan daripada ujian ini dan pada suatu hari nanti baginda akan menceritakan semula dosa yang mereka lakukan ini tanpa mereka sedari.

 

Ibrah Keempat : Orang Beriman Akan Dibantu oleh Allah SWT

Kepada orang yang beriman. Jangan takut dan bimbang sekiranya seseorang melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Contohnya ada orang melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kita di tempat kerja, merosakkan rumah tangga kita, atau memecah belahkan agama kita dan sebagainya.

Maka yakinlah dengan bantuan Allah SWT. Allah SWT tidak akan membiarkan orang yang taat dan patuh pada perintahnya dizalimi.

 

Pecah Tembelang

 

Mereka sangka  rancangan mereka telah sempurna. Lalu mereka telah merancang untuk berjumpa dengan bapanya pada waktu malam bagi mengelak bapanya itu mengesan tentang konspirasi mereka.

 

Mereka telah berpura-pura menangis dan memberitahu kepada Nabi Yaakub AS bahawa Nabi Yusof AS telah dimakan serigala. Bagi mengukuhkan lagi hujah, mereka telah membawa sehelai baju yang berlumuran darah. Mereka berharap supaya bapanya mempercayai kata-kata mereka dan maafkan kesilapan mereka kerana tidak dapat menyelamatkan Nabi Yusuf AS.

 

Adakah Nabi Yaakub AS percaya? Tidak sama sekali.

 

Allah SWT menunjukkan kebenaran dengan memperlihatkan kepada Nabi Yaakub AS bahawa mereka membawa bukti yang palsu. Bagaimana baju yang berlumuran darah itu tidak ada sebarang koyak? Ini satu perkara yang mustahil.

 

Saya akan bersabar dengan sebaik-baik kesabaran atas apa yang telah kamu semua komplot sehingga Allah memberikan jalan keluar dengan pertolongan dan kelembutan-Nya – Nabi Yaakub AS.

 

Itulah ungkapan yang keluar daripada seorang nabi yang diutuskan oleh Allah dalam menghadapi kerenah anak-anaknya.

 

Ibrah Kelima : Jangan Percaya Bulat-bulat Apa Yang Anak Kata

Ibu bapa hari ini berbeza dengan ibu bapa dahulu. Hari ini jika cikgu kata anak kita bermasalah di sekolah, kita terus menafikan dan membela anak kita. Malah kita marah pula kepada cikgu kerana tidak pandai mendidik.

Sepatutnya kita siasat dahulu perkara yang berlaku. Kita bincang baik-baik dengan cikgu dan tanya juga kepada anak kita apa yang berlaku. Kemudian barulah kita membuat keputusan.

Contohilah Nabi Yaakub yang melihat apa yang didakwa oleh anak tirinya itu satu perkara yang tidak logik.

 

Kesimpulan

 

Cara sabar yang terbaik adalah sabar yang tidak diiringi oleh keluh kesah kerana kita percaya bahawa musibah yang berlaku datang daripada Allah SWT. Nabi Yaakub AS mengajar kita bahawa baginda tidak akan memiliki kesabaran yang tinggi tanpa bantuan Allah SWT.

 

Ya Allah! Bantulah kami sabar dalam melakukan ketaatan kepada kamu!

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Hakim Darno)

Komen


Berita Berkaitan