Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Konsep 1Malaysia tidak wajar dianggap gimik politik- Musa

k1malaysia

SANDAKAN: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha memperluaskan pengetahuan dan pemahaman masyarakat terhadap konsep 1Malaysia memandangkan pendekatan ini sesuai dengan keperluan bagi pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Lantaran itu, ujar Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, konsep hasil cetusan idea oleh Perdana Menteri seharusnya tidak dianggap sebagai satu gimik politik kerana gagasan murni ini jelas memperlihatkan mengajak masyarakat mendalami unsur-unsur kenegaraan, penerimaan dan keadilan sosial.

“Ianya juga sebagai satu usaha ke arah membentuk sebuah bangsa yang harmoni, aman, makmur dan berjaya,” katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia 2014 peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sandakan, Jalan Sungai Batang, Batu 11, dekat sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris.

Mengenai pertandingan berkenaan, Musa berharap program yang dilaksanakan Jabatan Penerangan Sabah ini akan diteruskan kerana ianya membantu pihak kerajaan dalam membentuk minda masyarakat agar lebih menghargai dan bersyukur selaras dengan misi serta visi jabatan.

 

Sambil menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran yang secara tidak langsung menyemai semangat dan Gagasan 1Malaysia, katanya, usaha ini penting ke arah memahami nilai-nilai yang berteraskan di bawah gagasan dan sekali gus bagi memastikan rakyat didahulukan dalam melaksanakan apa juga program pembangunan.

 

“Sebagai imbalan kepada usaha kerajaan memberikan kemakmuran kepada rakyat jelata, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk berganding bahu mempertahankan perpaduan dan kemakmuran negara.

“Saya juga amat teruja apabila dimaklumkan bahawa peserta-peserta yang menyertai pertandingan adalah terdiri daripada pelbagai suku kaum yang pada hemat saya ianya amat baik terutama dalam menyemai semangat perpaduan selari dengan Gagasan 1Malaysia.

“Malahan, kita harus bangga kerana Sabah adalah model sebenar konsep 1Malaysia, dan ini telah diperakui sendiri oleh kepimpinan di peringkat pusat,” jelas Ketua Menteri.

Terdahulu, Pengarah Penerangan Sabah iaitu Haji Almain Ajirul semasa berucap berkata pertandingan pada tahun ini merupakan kali ke-11 diadakan sejak tahun 2003.

Katanya, pertandingan seumpama ini diadakan adalah bermatlamat untuk menggalakkan masyarakat umum menyampaikan pandangan dan pendapat mengenai sesuatu peristiwa yang bersejarah dan tokoh-tokoh yang telah berjasa kepada proses pembinaan negara bangsa.

Selain daripada itu, ujarnya, pertandingan bagi memupuk dan menyuburkan semangat integrasi nasional antara wilayah, suku kaum, budaya, agama dan kepercayaan melalui rentetan sejarah dan perjuangan tokoh-tokoh negara semasa berjuang menentang penjajahan ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

“Pada tahun ini, pihak jabatan telah memilih daerah Sandakan khususnya Hub Pendidikan Sabah sebagai lokasi pertandingan bagi menghargai usaha-usaha kerajaan negeri khususnya Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman selaku Ketua Menteri yang telah mencetuskan idea penubuhannya.

“Kami yakin, pemilihan lokasi di MRSM ini dapat membanti mempromosi dan memberikan publisiti kepada Hub Pendidikan Sabah di kawasan ini sebagai lembah ilmu yang bakal memperingkatkan mutu pendidikan khususnya di negeri ini.

“Untuk makluman, sebanyak enam kumpulan akan berentap bagi merebut Piala Pusingan Exco Penerangan Sabah dan wang tunai berjumlah RM3,000.

“Pasukan yang bertanding ialah Trio’s, Anak Kinabalu, Srikandi Kayu Manis, Gemilang, Inspirasi dan Lankayan. Kumpulan yang menjadi juara akan mewakili Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan September tahun ini,” beritahunya.

Komen


Berita Berkaitan