Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KOMUNITI MARITIM ESSZONE DIINGATKAN TIDAK LINDUNGI SAKI BAKI PENGGANAS SULU

esscom

KUNAK, 27 Feb  : Komuniti pesisir pantai di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) termasuk di Kunak diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) atau saki baki pengganas Sulu.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata walaupun insiden Tanduo berlaku hampir dua tahun lepas, namun operasi pembersihan saki baki pengganas Sulu, yang mungkin bersembunyi di zon itu, terus dilaksanakan.

“Oleh itu, saya minta penduduk di sepanjang pesisir pantai ESSZone, khususnya di Kunak, Lahad Datu dan Semporna supaya tidak bersekongkol atau melindungi kumpulan ini.

“Penduduk tempatan atau pemimpin masyarakat di ESSZone juga perlu melaporkan kehadiran PATI atau orang yang mencurigakan di kawasan masing-masing bagi memudahkan pihak keselamatan membuat pengawasan,” katanya ketika berucap pada pertemuan ESSCom Bersama Pemimpin Masyarakat Kunak di Dewan Masyarakat di sini. hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Ruji Ubi, Pengarah Logistik dan Tadbirm Urus ESSCom Brig Jen Subari Tomo serta Pegawai Daerah Kunak Susilo Sumarto.

Pada 26 Jun tahun lepas, enam individu termasuk seorang wanita yang dipercayai penceroboh Sulu, ditahan dalam satu operasi khas polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman di sekitar daerah Kunak.

Lima warga tempatan dan seorang individu dipercayai berasal dari Filipina itu ditahan selepas didapati mempunyai kaitan dengan kesultanan Sulu yang cuba membuat tuntutan terhadap Sabah.

Abdul Rashid berkata pihak ESSCom tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan PATI atau saki baki pengganas Sulu.

“Mudah-mudahan insiden berdarah di Tanduo tidak akan berulang. Sejarah hitam yang berlaku awal 2013 itu memberi pengajaran tentang pentingnya kita bersatu bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di ESSZone.

“Walaupun keadaan di ESSZone sekarang tenang dan aman, namun kita tidak boleh leka. Kita perlu sentiasa berwaspada dan jangan ada di antara kita yang menjadi tali barut penjenayah termasuk penyeludupan dan penculikan,” katanya.

Abdul Rashid turut meminta pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya terus bekerjasama membantu menjayakan misi ESSCom bagi membersihkan ESSZone daripada PATI.

Bagi merealisasikan misi murni itu, katanya Operasi Bersepadu Khas yang diterajui ESSCom dilancarkan di beberapa daerah di ESSZone.

“Operasi bersepadu kini tertumpu di pusat bandar Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan. Operasi ini ternyata berjaya mengurangkan dominasi penjaja (peniaga) PATI di kawasan bandar itu.

“Jika semuanya berjalan lancar, operasi bersepadu khas ini akan dilancarkan di daerah Kunak dalam masa terdekat. Sasaran kita ialah menguasai atau mendominasi semula aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan di semua bandar atau pekan di ESSZone,” katanya.

Abd Rashid berkata operasi bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa kerajaan negeri dan Persekutuan merupakan tindakan susulan Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Mengenai Isu PATI di Sabah, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan menangani masalah yang telah berlarutan sekian lama itu. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan