Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Komuniti belia suntik semangat ESSCOM pertahan kedaulatan Sabah

beliaezone

KOMUNITI Belia Esszone yang baharu diperkenalkan bakal menyuntik semangat dan sokongan moral kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bertekad untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ini kerana golongan belia yang ramai di ESSZONE, jika digembeling sepenuhnya, boleh bertindak sebagai “mata dan telinga” kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkait isu keselamatan di kawasan masing-masing.

Isu keselamatan di ESSZONE memerlukan tindakan yang holistik bukan sahaja melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pertahanan tetapi juga memerlukan penyertaan orang ramai terutama golongan belia.

Dalam hal ini, salah satu platform yang boleh digunakan ialah media sosial seperti facebook dan tweeter. Media-media baru yang semakin popular ini boleh dimanfaatkan oleh golongan belia untuk menyebarkan maklumat tepat dan positif mengenai isu keselamatan dan seterusnya menasihati rakan-rakan belia supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kebimbangan dan ketakutan rakyat, khususnya di ESSZONE.

Sehubungan itu pelbagai pihak menyambut baik inisiatif ESSCOM mewujudkan Komuniti Belia ESSZONE yang dilancarkan di Tawau pada bulan lepas dan baru-baru ini dilancarkan di Kota Marudu.

Rata-rata belia yang ditemui New Sabah Times pada majlis pelancaran Program Komuniti Belia ESSZONE di Kota Marudu menyambut baik usaha ESSCOM untuk mewujudkan Komuniti Belia ESSZONE.

Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Kota Marudu Simon Maringking berkata sebanyak sembilan persatuan belia kawasan Kota Marudu menyertai program itu seterusnya menjadi ahli Komuniti Belia Esszone.

“Persatuan itu ialah Persatuan Belia Kg.Geruda Baru, Persatuan Belia Kg.Tingkalanon, Persatuan Belia Kg.Morion, Persatuan Belia Kg.Salimandut, Persatuan Belia Wawasan Kg. Panaitan, Persatuan Belia Kg.Beliajung, Persatuan Belia Kg.Wani, Persatuan Belia Gabungan Islam dan Persatuan Belia Gabungan Kota Marudu.

“Selain itu sebanyak 15 lagi persatuan belia kawasan Kota Marudu dalam proses pendaftaran pertubuhan belia (ROY). Kita berharap kesemua persatuan belia di sini dapat menganggotai Komuniti Belia Esszone,” katanya.

Sambil menyambut baik Program Komuniti Belia Esszone, beliau berkata ia bakal merintis penglibatan belia dalam membantu merealisasikan misi murni Esscom untuk melihat Sabah terus aman, damai dan selamat.

“Kawasan Esszone yang luas dan panjang dengan sesetengah kawasan tidak mendapat liputan radar memerlukan kerjasama daripada golongan belia untuk bertindak sebagai “telinga dan mata” kerajaan dalam soal keselamatan, sekali gus memastikan Esszone tidak mudah dibolosi oleh penceroboh Sulu dan penjenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

 

“Saya berharap Esscom dapat meneruskan Program Komuniti Belia di daerah lain di Esszone kerana kita berdepan dengan ancaman sebenar yang kita tidak jangka sama sekali berlaku sebelum ini,” katanya.

Program Komuniti Belia Esszone merupakan program kemasyarakatan yang dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama strategik agensi kerajaan membabitkan belia dan beliawanis di peringkat akar umbi ke arah menjana kesejahteraan di Esszone.

Objektifnya ialah untuk mendedahkan para peserta dengan hala tuju ESSCOM dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan khususnya di kawasan Timur Sabah, selaras dengan visi dan misi ESSCOM.

Selain itu, ia bertujuan untuk mewujudkan jaringan kerjasama dengan kmuniti belia dari pelbagai suku kaum di peringkat akar umbi dan membentuk semangat cintakan negara dan sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Tingkalanon Tandek Kota Marudu Jawi Onos berkata, program seumpama itu tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada golongan belia khususnya di kawasan luar bandar mengetahui peranan dan tanggungjawab ESSCOM.

“Walaupun ESSCOM sudah diwujudkan sejak lebih setahun lalu namun masih ramai yang keliru apa itu ESSZONE dan ESSCOM,” katanya.

ESSZONE merujuk kepada kawasan 10 daerah dari Kudat hingga ke Tawau manakala ESSCOM adalah badan penyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan di ESSZONE.

ESSZONE merangkumi 10 daerah meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Oleh itu, Jawi berharap program itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya golongan belia tentang pentingnya bersatu bagi menjaga keselamatan rakyat di negeri ini, khususnya di ESSZONE.

Menurutnya pameran yang diadakan sempena majlis itu yang disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan khususnya pasukan keselamatan dan pertahanan negara memberi ruang kepada golongan belia mendekati serta memahami tugas setiap pasukan beruniform.

“Sebagai pengerusi persatuan, saya akan mendaftarkan semua ahli persatuan ini untuk menganggotai Komuniti Belia Esszone dan memberi penjelasan kepada mereka mengenai peranan serta tanggungjawab belia menjaga keamanan dan keselamatan di kawasan masing-masing,” katanya.

Pandangan Jawi turut disokong Naib Pengerusi Persatuan Belia Kampung Geuda Baru Kota Marudu Badrul Hisyam.

Badrul berkata, persatuan itu yang dianggotai lebih kurang 45 orang telah didaftarkan sebagai ahli Komuniti Belia ESSZONE.

“Terima kasih kepada pihak ESSCOM kerana berjaya mengadakan program seperti ini di Kota Marudu bagi memberi pendedahan kepada golongan belia di sini mengenai ESSCOM.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama antara Komuniti Belia Esszone di Kota Marudu dengan anggota pasukan keselamatan dan pertahanan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Abdul Alimuddin, seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari Kudat berkata, program itu amat releven untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan ESSCOM.

“Selain itu, kita juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara belia-belia Kota Marudu melalui pelbagai acara sepanjang program ini seperti karaoke dan kejohanan Futsal,” katanya.

Fitri Nazirah Samsudin, 20, dari Kota Marudu mengakui sebelum ini dia kurang memahami perbezaan antara ESSCOM dan ESSZONE.

“Saya agak keliru apa itu ESSCOM dan ESSZONE, tetapi apabila diberikan penerangan mengenainya, saya dapat memahami dengan jelas.

“Program baru ESSCOM ini amat bagus untuk mendekati belia supaya lebih memahami peranan dan fungsi ESSCOM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Komuniti Belia ESSZONE Daerah Kota Marudu di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, kelmarin.

Program itu dilancarkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Turut hadir Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Haji Mohammad Mentek, Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan ESSCOM DCP Datuk Nadzer Nordin, an-persatuan belia Tawau Zaki Harry Susanto.

Komen


Berita Berkaitan