Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Komuniti 1Malaysia menjana pendapatan masyarakat setempat

Suhaili ditemani isterinya, Murni Karto Marmo, 64, yang turut membantunya menghasilkan parang.

Papar : Tidak sangka ilmu yang dikongsi daripada rakan, dimanfaat isteri dan kini menjadi produk bagi Komuniti 1Malaysia (K1M) Pengalat.

Pengerusinya, Tahir Diasin bersyukur kerana kemahiran menghias tudung saji menggunakan tali rapiah kini mampu menjana pendapatan keluarga serta ahli-ahli komuniti menerusi saluran industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti pasar tani, expo usahawan, pameran dan sebagainya.

“Kita telah memulakan aktiviti menghasilkan produk tudung dulang berhias ini sejak awal Januari setelah mendapat idea daripada kawan di Tanjung Aru.

“Bahannya ringkas dan mudah didapati, hanya menggunakan tali rapiah berwarna-warni dan ada juga yang menggunakan riben dan sedikit manik bergantung kepada kehendak pelanggan. Penutup tudung saji yang bersaiz kecil berharga antara RM25 hingga RM30, manakala yang besar hanya RM45 hingga RM50,” katanya.

Rakannya, Suhali Dally, 74, dari K1M Kuala pula menggunakan seni kemahiran menghasilkan pelbagai jenis parang sebagai pendapatan sampingan pada masa senggang.

“Kemahiran ini saya dapat daripada kursus dianjur Kementerian Pembangunan Luar Bandar lebih 30 tahun yang lalu. Pada hari ini, saya hanya membawa 40 jenis parang untuk dipamer dan dijual.

“Harga parang bergantung kepada jenis kayu dan ukiran pada sarung, bentuk serta saiz. Secara keseluruhan, harga parang di antara RM65 hingga RM500,” ujarnya ketika ditemui pada Program Sepakat K1M Daerah Papar yang dihadiri Ahli Parlimen, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang, Datuk Ghulam haidar Khan diiringi Pengarah Penerangan Sabah, Swady Guliling.

Berbeza dengan anak muda, Akmal Khairi Wahap yang meminati hobi keluarga iaitu menyimpan koleksi barangan antik seperti basikal, tepak sirih tembaga, pinggan, tajau, ipang dan banyak lagi.

Anak kepada Pengerusi K1M Kimanis, Wahap Ajak itu juga aktif membantu keluarga dalam setiap expo usahawan serta pameran dianjur pihak kerajaan.

“Saya ingin generasi TN50 mengenali barang-barang antik yang wujud dalam budaya masyarakat sejak turun-temurun, sekurang-kurangnya mereka dapat melihat dan menyentuhnya, bukan sekadar melihat dalam alam maya,” kongsinya dengan bersungguh-sungguh./Penerangan-

Akmal Khairi (tiga dari kiri) memberi penerangan ringkas mengenai koleksi barang antik milik keluarganya kepada Rosnah dan Swady (dua dari kanan).

Komen


Berita Berkaitan