Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KOMULAKAN UPKO TIDAK SETUJU SYOR SABAH KELUAR MALAYSIA

 

Ewon menerima cenderakenangan daripada Juliana, turut kelihatan Jaina (tengah).
Ewon menerima cenderakenangan daripada Juliana, turut kelihatan Jaina (tengah).
KOTA KINABALU: Komulakan Upko tidak bersetuju dengan kumpulan tertentu yang membuat syor supaya Sabah keluar daripada Malaysia selepas mendakwa Perjanjian Malaysia gagal dipatuhi, kata Ketuanya Ewon Benedick.
Sebaliknya, beliau berkata Komulakan Upko menyokong penuh usaha untuk membincangkan Hak-Hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Kita sedang merayakan ulangtahun pembentukan Malaysia yang ke-51 tahun dan sememangnya kita tidak dapat mengelak orang awam berbincang mengenai pencapaian dan kemajuan negeri Sabah, itulah hak setiap rakyat. Apapun, semua yang dibincangkan haruslah untuk kebaikan negara Malaysia untuk 51 tahun yang seterusnya.
“Berbeza dengan beberapa pandangan tertentu, kami berasa bangga dengan penubuhan Malaysia dan semua proses perundingan yang bermula sebaik sahaja Tunku Abdul Rahman mengumumkan idea pembentukan Malaysia pada tahun 1961.
“Delegasi Sabah telah dibentuk dan diketuai oleh Donald Stephens yang kemudiannya mengemukakan 20 Perkara sebagai asas perundingan. Kami percaya bahawa delegasi Sabah tersebut telah mengemukakan pendirian dengan sangat tegas ketika itu.
“Oleh sebab itu, kami di Pergerakan Komulakan tidak bersetuju dengan kumpulan tertentu yang membuat syor Sabah keluar daripada Malaysia selepas dakwaan mereka mengenai kegagalan pematuhan Perjanjian Malaysia,” katanya, di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah kepimpinan untuk Wanita UPKO Keningau di Penampan, dekat sini, kelmarin.
Ewon yang juga ketua bahagian Upko Kota Belud berkata rakyat negeri ini harus ingat bahawa Perkara 7 menyatakan, Sabah tidak mempunyai hak untuk berpisah dengan Malaysia.
“Oleh sebab itulah Pergerakan Komulakan UPKO tidak dapat bersetuju dengan kumpulan tertentu yang membuat syor agar Sabah keluar daripada Malaysia selepas mendakwa Perjanjian Malaysia gagal dipatuhi.
“Saya berpendapat bahawa meletakkan diri kita pada era 60-an dan membuat analisa yang melebih-lebih tidak akan memberi sebarang manfaat.
“Bagaimanapun, saya menyokong penuh sebarang usaha untuk mengadakan perbincangan komprehensif termasuk membuat kajian semula mengenai status kemajuan dan hak-hak Sabah dalam persekutuan ini. Saya percaya Kerajaan Negeri Sabah amat terbuka terhadap pandangan-pandangan rakyat dan sesungguhnya sedang memperjuangkan layanan yang lebih baik sebagai rakan dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, tidak dapat dinafikan bahawa masih banyak yang harus dilakukan di negeri ini. Tetapi dalam masa yang sama, rakyat tidak boleh menafikan bahawa Kerajaan telah melakukan banyak perkara untuk kebaikan rakyatnya samada dalam bidang ekonomi, pendidikan, kemudahan asas, sosial dan politik.
Katanya, dalam beberapa perkara contohnya seperti royalti minyak, Ketua Menteri Sabah telah tampil dengan formula yang lebih baik bukan setakat menjadikan Sabah sebagai pemungut royalti tetapi lebih baik lagi, menjadikan negeri ini sebagai pemain aktif dalam industri gas dan minyak.
“Para pemimpin Barisan Nasional dari Sabah juga memperjuangkan autonomi pentadbiran dan representasi yang lebih baik di Parlimen sejak sebelum kemunculan Pakatan Rakyat dalam politik nasional.
“Malah, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah juga membuktikan bahawa para pemimpin Sabah tidak berganjak daripada prinsip memperjuangkan hak Sabah,” katanya.
Ewon berkata, Sabah kini mempunyai enam menteri di Kabinet Persekutuan iaitu yang terbanyak dalam sejarah dan yakin mereka konsisten membawa hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah dalam mesyuarat mingguan kabinet.
“Apa yang harus digalakkan ialah kesatuan dalam pemikiran di kalangan rakyat Sabah untuk memperjuangkan apa yang ada ketika ini.
“Peningkatan kesedaran politik di kalangan rakyat negeri ini, khususnya generasi pasca penubuhan Malaysia merupakan satu petunjuk baik mengenai masa depan Sabah dalam Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.
“Dalam pada itu, kita berharap agar semua pihak bersikap praktikal dan bukan dipandu oleh emosi setiap kali berbincang mengenai hak-hak Sabah,” katanya.
Turut hadir Ketua Exco Pergerakan Wanita Upko Pusat Datin Dr.Jaina Sintian dan Ketua Wanita Upko Keningau Datin Juliana Janni.

Komen


Berita Berkaitan